LONDON - Chelsea akan melancarkan bidaan terakhir bernilai £35 juta
(RM180 juta) ke atas penyerang Manchester United, Wayne Rooney selepas
pertembungan antara kedua-dua pasukan itu pada aksi Liga Perdana England
awal pagi esok.
The Blues telah 'menandatangani' pembelian terbesar pada musim panas
ini selepas berjaya mengikat bekas pemain tengah Anzhi Makhachkala,
Willian, 25, bernilai £30 juta (RM154.2 juta) minggu lalu.
Bagaimanapun, pengurus Chelsea, Jose Mourinho pasti menjadi individu
paling kecewa jika hasratnya membawa masuk Rooney ke Stamford Bridge
musim ini tidak menjadi kenyataan.
Menurut Mourinho, beliau akan menyelesaikan isu Rooney sebaik sahaja
selesai pertemuan antara kedua-dua pasukan di Old Trafford nanti.
Sebelum ini, pihak pengurusan United telah dua kali menolak permintaan Chelsea untuk membeli Rooney.
Dalam masa sama, United menegaskan bahawa mereka tidak akan menjual penyerang antarabangsa England itu pada sebarang harga.
"Kami akan berusaha untuk melancarkan bidaan maksimum sebelum jendela perpindahan pemain ditutup pada 2 September depan.
"Untuk peluang terakhir ini, kami akan berusaha habis-habisan," kata Mourinho.
Pengurus berasal dari Portugal itu juga menegaskan bahawa skuad The Blues tidak akan menjual Juan Mata.
Namun, Mourinho tidak menolak kemungkinan akan melepaskan Mata andai
United membuat permintaan untuk mendapatkan perancang Sepanyol itu
sebagai pertukaran dengan Rooney.
"Sehingga kini, tiada apa lagi perkembangan positif dan kami sangat
menghormati keputusan mereka serta undang-undang dalam bola sepak," kata
Mourinho lagi. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan