|
MUNGKIN tidak keterlaluan untuk mengatakan Selangor sudah boleh menutup 'Misi 33'.
Turun dengan misi mengutip tiga mata penuh, skuad Gergasi Merah itu
gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri selepas sekadar seri
1-1 dengan Sime Darby pada aksi keempat Kumpulan A kempen Piala
Malaysia 2013 di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Kekalahan ini menyukarkan lagi laluan Selangor ke peringkat suku
akhir berdasarkan prestasi tidak konsisten yang dipamerkan buat masa
ini.
Skuad kendalian sementara, P. Maniam wajib menang dua perlawanan
sambil berharap salah sebuah daripada dua pasukan teratas, Sime Darby
dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut tewas kedua-dua perlawanan
terakhir peringkat kumpulan.
Namun, situasi itu mungkin agak sukar berlaku setelah kedua-dua
pasukan tersebut dilihat berada dalam prestasi terbaik mereka ketika ini
hasil dua kemenangan.
Pada aksi semalam, Selangor menampilkan persembahan agresif dan
berjaya membuka jaringan menerusi penyerang import, Francis Forkey Doe
pada masa kecederaan babak pertama.
Begitupun, Karlo Primorac meranapkan misi skuad Gergasi Merah yang
terdesak memburu kemenangan pertama itu dengan meledak gol penyamaan
pada minit ke-79.
Selangor kini akan turun dengan misi hidup mati apabila berkunjung ke
Stadium Majlis Perbandaran Selayang menentang ATM pada 17 September
depan sebelum menutup aksi Kumpulan A dengan bertemu Sime Darby di venue
yang sama empat hari kemudian.
Sementara itu, perlawanan lain menyaksikan Johor Darul Takzim (DT)
turut dikejutkan 1-2 kepada T-Team dalam aksi Kumpulan B di Stadium Tan
Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi.
Kekalahan tersebut menyaksikan mereka terperosok di tangga ketiga dengan enam mata hasil dua kemenangan sebelum ini.
Begitupun, jurulatih Harimau Selatan Azmi Mohamed optimis pasukan
masih berpeluang mengintai slot ke suku akhir Piala Malaysia musim ini.
"Saya kecewa tetapi sebenarnya 14 pasukan dalam saingan ini masing-masing memiliki peluang yang cerah untuk mara ke suku akhir.
"Meskipun kami mendapat gol awal, kami gagal mengekalkan kelebihan
itu dan pada babak kedua kami dihukum dengan kesilapan kami sehingga
bolos dua gol.
"Keseluruhannya kami masih berjaya menguasai permainan, namun nasib tidak memihak kepada kami.
"Seperti yang saya beritahu tadi, peluang masih terbuka buat 14 pasukan ke suku akhir," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan