TIADA apa yang mampu diungkap pengendali Perak, Mohd. Azraai Khor
Abdullah selain memuji anak-anak buahnya selepas melakar kemenangan 2-1
ke atas Sarawak di Stadium Perak, Ipoh malam kelmarin.
Selepas ketinggalan hasil jaringan perancang Sarawak, Joseph Kalang
Tie, Perak bangkit dengan dua gol hasil sumbangan tonggak import, Paulo
Rangel pada minit ke-65 dan 81.
Bagi Azraai, barisan pemainnya telah menampilkan semangat juang
tinggi sehingga membolehkan mereka meraih tiga mata berharga pada aksi
pembukaan Kumpulan C kempen Piala Malaysia itu.
Menurut Azraai, beliau amat berpuas hati dengan keputusan serta
persembahan keseluruhan anak-anak buahnya yang diturunkan dalam
perlawanan menentang juara Liga Premier itu.
“Walaupun Sarawak bermula garang dan berjaya memperoleh satu gol pada
separuh masa pertama tetapi semasa rehat, saya meminta para pemain
mengekalkan fokus serta melancarkan lebih banyak serangan ke kubu lawan.
“Kemenangan dalam aksi pertama di tempat sendiri sudah semestinya
menggembirakan saya dan juga para penyokong setia Perak yang memenuhi
stadium.
“Saya anggap kemenangan itu satu permulaan yang baik dan kami mesti
mengekalkan momentum ini pada perlawanan akan datang,” kata Azraai
ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Bagaimanapun, Perak perlu ‘membayar harga yang mahal’ di sebalik kemenangan bergaya mereka di hadapan penyokong sendiri itu.
Ini kerana tonggak pertahanan, Mohd. Hishamuddin Shaari terpaksa
dikejarkan ke hospital selepas bertembung dengan seorang pemain Sarawak
sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan di hidung dan mulut.
“Saya telah melawatnya (Hishamuddin) di hospital dan mendapati
mukanya ada sedikit bengkak dan saya jangka dia tidak akan diturunkan
dalam aksi kedua menentang Kedah Sabtu ini.
“Pujian juga harus saya berikan kepada Muhd. Shahrom (Abdul Kalam)
yang masuk menggantikan Hishamuddin kerana dia berjaya mengawal
permainan dengan baik,” tambah Azraai.
Dalam pada itu, Azraai berkata, beliau mahu para pemainnya melupakan
kemenangan ke atas Sarawak, sebaliknya memberi tumpuan menjelang aksi
menentang Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar Sabtu ini.
Azraai mengakui Kedah bukan calang-calang pasukan, apatah lagi mereka
mampu mengikat juara Liga Super, Lions XII 2-2 di Stadium Jalan Besar,
Singapura malam kelmarin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan