LONDON - Tottenham Hotspur mencapai persetujuan dengan Valencia berhubung isu perpindahan Roberto Soldado.
Kelab Liga Perdana England itu akan membayar sebanyak 30 juta euro
(RM129.1 juta) bagi menebus klausa pelepasan penyerang antarabangsa
Sepanyol berusia 28 tahun itu.
"Valencia telah mencapai persetujuan dengan Tottenham selain menunggu
ujian perubatan untuk perpindahan Soldado," menurut satu kenyataan
dalam laman web kelab Liga Sepanyol itu kelmarin.
Menurut kenyataan itu lagi, harga tersebut merupakan rekod tertinggi perpindahan pemain bagi Spurs.
Sebelum ini, Spurs membuat rekod perpindahan kelab ketika membeli David Bentley dari Blackburn Rovers pada 2008.
Presiden Valencia, Amadeo Salvo sebelum ini tidak menolak kemungkinan
Soldado bakal dijual kepada Spurs sekiranya klausa pelepasan pemain itu
ditebus.
"Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada Soldado dan menghargai sumbangannya bersama Valencia," menurut kenyataan itu.
Soldado mencetak 30 gol sepanjang 46 penampilan bersama Valencia
musim lalu, manakala meledakkan enam gol sepanjang 11 aksi bersama skuad
antarabangsa Sepanyol.
Perpindahan itu turut memperkuatkan spekulasi perpindahan seorang
lagi tonggak Spurs, Gareth Bale yang ketika ini dikaitkan dengan Real
Madrid. - Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan