Sabtu, 17 Ogos 2013

Sultan Ahmad cabar Kim Swee, Raja menangi baki kejohanan

Kuala Lumpur: Sultan Ahmad Shah melontarkan cabaran kepada pengendali Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal dan jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee menjelang dua kejohanan penting hujung tahun ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu mahu anak buah Rajagobal memenangi semua baki perlawanan dalam Kumpulan D kempen Kelayakan Piala Asia 2015 yang akan bermula Oktober ini, sekali gus mara ke pusingan akhir di Australia.

“Apa jua yang berlaku sekalipun, skuad negara perlu menang dalam dua baki perlawanan (menentang Bahrain dan Qatar) selepas ini sekali gus mara ke pusingan akhir,” kata Sultan Ahmad Shah ketika berucap menyempurnakan Kongres Tahunan FAM ke-49 di Hotel Royal Chulan, di sini semalam.


Selepas dua perlawanan, skuad negara ketika ini menghuni tangga ketiga carta Kumpulan D dengan mengumpul tiga mata, hasil kemenangan 2-1 ke atas Yaman dan tewas 0-2 di tangan Qatar.

Anak buah Rajagobal akan meneruskan kempen kali ini dengan melayan kunjungan Bahrain di Stadium Shah Alam 19 Oktober ini sebelum berkunjung ke Stadium Nasional Bahrain untuk aksi kedua pada 15 November.

Malaysia berdepan aksi kedua menentang Qatar di Stadium Shah Alam pada 19 November sebelum menutup tirai kempen berdepan Yemen pada 5 Mac.

Sementara itu, bagi Kim Swee, beliau tidak mempunyai pilihan selain mempertahankan pingat emas Sukan SEA buat kali ketiga berturut-turut apabila edisi 201 temasya dwitahunan itu berlangsung di Myanmar Disember ini seperti sasaran ditetapkan Sultan Ahmad Shah.
Malaysia berjaya memenangi emas ketika edisi 2009 di Laos ketika skuad negara dikendalikan Rajagobal sebelum Kim Swee mempertahankan kejuaraan dua tahun kemudian di Indonesia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan