|
SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin
Mohd. Amin menegaskan bahawa tiada sentimen peribadi antara ketua
jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal dan pengendali Harimau Muda
A, Ong Kim Swee.
Hamidin memberikan kenyataan itu berhubung pemilihan dua pemain muda,
Nik Shahrul Azim Abdul Halim dan Junior Eldstal yang akan menyertai
skuad kebangsaan bagi mengharungi aksi persahabatan menentang China, 10
September depan.
Hamidin memberitahu, pemilihan tonggak pertahanan Kelantan dan Sarawak itu mendapat persetujuan kedua-dua jurulatih tersebut.
Jelasnya, FAM sentiasa mencari pendekatan terbaik buat kedua-dua
pasukan negara kerana pihaknya menyedari Harimau Malaya kini berusaha
untuk memburu slot automatik ke Piala Asia 2015 di Australia, manakala
Harimau Muda berdepan dengan misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA
2013 Myanmar, Disember depan.
“Tiada sebarang sentimen antara Rajagobal mahupun Kim Swee kerana FAM
telah bersetuju untuk membenarkan Nik Shahrul dan Junior menyertai
Harimau Malaya yang akan beraksi di China.
“Selepas berbincang dengan kedua-dua jurulatih (Rajagobal dan Kim
Swee), FAM tiada masalah untuk melepaskan kedua-dua pemain ini menyertai
Harimau Malaya.
“Berdasarkan situasi sekarang, FAM telah bersetuju dan perlawanan
menentang China dianggap penting buat Harimau Malaya bagi memperbaiki
ranking.
“Begitu juga dengan Harimau Muda yang bakal mengharungi kejohanan
Pestabola Merdeka pada masa yang sama tetapi kedua-dua pengendali ini
memiliki tugasan berat tersendiri. Saya percaya pemilihan dua pemain ini
tidak akan memberikan masalah besar kepada skuad kendalian Kim Swee.
“Lebih penting adalah Penunjuk Prestasi Utama (KPI) mereka memburu
slot automatik ke Piala Asia dan mempertahankan pingat emas pada Sukan
SEA nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Pemilihan Nik Shahrul dan Junior mencetuskan persoalan kepada
pemerhati bola sepak khususnya peminat-peminat skuad negara apabila
masing-masing mempertikaikan pemilihan itu.
Ia dikatakan akan menjejaskan perancangan Kim Swee selepas kehilangan
dua tonggak penting dalam pasukannya untuk aksi kejohanan Pestabola
Merdeka.
Ini kerana mereka menganggap kejohanan tersebut dianggap lebih
penting berbanding aksi persahabatan biasa, sekali gus mencetuskan tanda
tanya kepada peminat-peminat bola sepak tempatan.
Begitupun, Hamidin sekali lagi memberikan respons pantas dengan
memberitahu bahawa, pemilihan tersebut tiada kena mengena dengan
sentimen yang diwar-warkan oleh mana-mana pihak.
“Seperti yang saya katakan tadi, tiada sebarang sentimen berlaku.
Kedua-dua jurulatih telah mencapai kata sepakat dan perkara ini tidak
harus disensasikan oleh mana-mana pihak.
“Skuad Rajagobal akan berusaha untuk memperbaiki ranking, manakala
skuad Kim Swee akan bersaing dalam kejohanan Pesta Bola Merdeka. Jadi,
kedua-dua pasukan ini memiliki peluang terbaik dalam usaha
merealisasikan KPI mereka,” katanya.
Rajagobal melepaskan pemain pertahanan, Mohd. Fadhli Shas, Mohd.
Zubir Azmi, Wan Zack Haikal Wan Noor dan pemain tengah Mohamad Nazmi
Faiz Mansor untuk menyertai skuad muda negara itu dengan memberi alasan
Nik Shahrul dari Kelantan dan Junior adalah tonggak penting bahagian
pertahanan Harimau Malaya.
Dalam perkembangan sama, Kim Swee kekal tenang meskipun dilihat
beliau berdepan situasi sukar apabila mengalami kepincangan di posisi
pertahanan selepas Shahrul Saad dan Mohd. Amer Saiden masih ditimpa
kecederaan sejurus ‘kehilangan’ Nik Shahrul dan Junior.
“Saya terima keputusan yang dibuat oleh Rajagobal dan saya akan
menggunakan pemain yang sedia ada bagi membentuk skuad terbaik untuk
menghadapi Pestabola Merdeka nanti,” kata Kim Swee.
Dalam saingan Pestabola Merdeka, Harimau Muda bakal berdepan skuad bawah 23 tahun (B-23) Singapura, Thailand dan Myanmar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan