PENGENDALI Harimau Muda, Ong Kim Swee kekal bersikap gentlemen.
Kehilangan dua tonggak pertahanan, Nik Shahrul Azim Abdul Halim dan
Junior Edstal menjelang Pestabola Merdeka 2013 di Kuantan, Pahang Darul
Makmur bulan depan tidak sedikitpun membuatkan pengendali berusia 43
tahun itu berkecil hati.
Sebaliknya, Kim Swee nekad membantu Harimau Muda memberikan yang
terbaik pada kejohanan itu sebagai sebahagian daripada persiapan memburu
pingat emas hatrik pada temasya Sukan SEA di Myanmar penghujung tahun
ini.
Menurut Kim Swee, beliau telah mengenal pasti beberapa pemain bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Nik Shahrul dan Junior.
"Tidak timbul soal kecil hati dan sebagainya, isu seperti ini sewajarnya tidak lagi perlu disensasikan.
"Sebenarnya, saya sudah memiliki dua atau tiga pemain pengganti bagi menggantikan mereka (Nik Shahrul dan Junior).
"Memanglah saya akan memiliki lebih banyak alternatif pemain jika
memiliki Nik Shahrul dan Junior tetapi saya percaya masih ramai pemain
lain sehebat mereka, sekali gus memberikan yang terbaik untuk
sekurang-kurangnya mara ke final Pestabola Merdeka," kata Kim Swee
kepada Kosmo! semalam.
Semalam, Kosmo! melaporkan tindakan pengendali Harimau Malaya,
Datuk K. Rajagobal yang menyenaraikan Nik Shahrul dan Junior sebagai
persiapan berdepan China dalam satu aksi persahabatan pada 10 September
depan.
Tindakan Rajagobal itu jelas mengundang polemik dalam kalangan
pemerhati bola sepak tempatan yang menyifatkan Nik Shahrul dan Junior
sepatutnya menyertai Harimau Muda mengharungi Pestabola Merdeka.
Ini kerana Harimau Muda dilihat agak tempang di bahagian benteng
pertahanan ekoran kecederaan yang dialami Shahrul Saad dan Mohd. Amir
Saiden semasa 'berguru' di Eropah tempoh hari.
Namun, Harimau Muda tetap menerima perkhabaran gembira apabila
kembali diperkuatkan dengan beberapa muka lama seperti Muhamad Fadhli
Shas, Wan Zack Haikal Wan Noor, Mohd. Zubir Azmi dan perancang muda,
Nazmi Faiz Mansor bagi mengharungi Pestabola Merdeka kelak.
Skuad Harimau Muda bakal membuka tirai Pestabola Merdeka berdepan
skuad bawah 23 Tahun (B-23) Singapura di Stadium Darul Makmur, Kuantan
pada 7 September depan sebelum melayan cabaran B-23 Myanmar (9
September) dan B-23 Thailand dua hari kemudian.
Aksi penentuan tempat ketiga/ keempat dan final pula dijadualkan berlangsung di stadium yang sama pada 14 September.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan