Sabtu, 17 Ogos 2013

Tok Gajah laung amaran awal



AZAMUDDIN (kanan) kembali menyertai sesi latihan bersama rakan-rakan sepasukan.


PAHANG akan mempertaruhkan barisan terbaiknya pada perlawanan pertama Kumpulan C kempen Piala Malaysia 2013 menentang juara bertahan, Kelantan di Kuantan, Selasa ini.

Penolong pengurus skuad Tok Gajah, Zainal Abidin Hassan berkata, semua pemain berada dalam motivasi terbaik ketika ini dan sudah bersedia untuk misi Piala Malaysia kali ini.

“Saya juga gembira kerana dua pemain tonggak, Damion Stewart (pertahanan) dan Mohd. Azamuddin Akil (penyerang) yang telah lama ‘berehat’ akibat kecederaan mula menyertai sesi latihan bersama pasukan.

“Menyentuh mengenai pertemuan pertama dengan Kelantan nanti, saya percaya sentuhan jurulatih, Dollah Salleh yang kini sedang giat memperkemaskan pasukan mempunyai percaturan tersendiri dalam usaha meraih tiga mata penuh di gelanggang sendiri,” kata Zainal ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.

Zainal berkata, walaupun Kelantan yang tampil dengan status juara bertahan, ia tidak menggentarkan skuad Tok Gajah dan mereka wajib mengambil peluang pada aksi di tempat sendiri itu dengan meraih tiga mata penuh.

Katanya, dia yakin momentum terbaik yang ditampilkan Pahang dalam kempen Liga Super dan Piala FA lalu akan diteruskan oleh semua pemain yang begitu bersemangat untuk menghadapi kempen Piala Malaysia kali ini.

“Kami kini berada dalam persiapan terakhir sebelum turun beraksi dan saya percaya jurulatih (Dollah) sudah mencongak barisan terbaik yang akan diturunkan dalam perlawanan pertama itu.
“Apa yang saya harapkan adalah agar semua pemain menampilkan aksi yang konsisten dalam setiap perlawanan dan kami mampu menamatkan saingan dalam kelompok dua terbaik Kumpulan C, sekali gus layak ke suku akhir,” kata Zainal.

Selain pertemuan Pahang dan Kelantan, Kumpulan C yang turut dihuni oleh dua pasukan mempunyai sejarah gemilang dalam kempen Piala Malaysia iaitu Terengganu serta Negeri Sembilan yang akan turut bermain pada hari yang sama di Kuala Terengganu.

Pahang mencatat kemenangan 3-2 ke atas naib juara Liga Premier, Sime Darby dalam aksi persahabatan terakhir kedua-dua pasukan sebelum kempen Piala Malaysia di Selayang, Khamis lalu.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan