ROM - Penyerang veteran, Luca Toni menjaringkan dua gol dalam aksi
sulungnya bersama Hellas Verona, sekali gus membantu pasukan itu
mengejutkan gergasi Itali, AC Milan 2-1 awal pagi semalam.
Aksi sulung dalam saingan Serie A antara kedua-dua pasukan itu merupakan pertemuan kali pertama mereka dalam tempoh 11 tahun.
Toni, 36, menghasilkan kedua-dua gol menerusi tandukan cantik pada
minit ke-29 dan 53, seterusnya membantu pasukan yang baharu sahaja
dinaikkan 'pangkat' ke saingan utama Serie A itu bermula dengan langkah
kanan dalam aksi sulung mereka.
Milan bermula agak meyakinkan apabila Andrea Poli meletakkan pelawat
di hadapan pada minit ke-14, berpunca daripada hantaran kemas penyerang
Itali, Mario Balotelli.
Bagaimanapun, Verona tidak berputus asa dan hasilnya, Toni yang juga
bekas penyerang Itali dan Fiorentina menanduk cantik untuk gol penyamaan
pada minit ke-30.
Ketika perlawanan separuh masa kedua baru memasuki minit kelapan,
Toni sekali lagi mempamerkan kehebatan apabila menyumbat gol kedua
Verona.
Kemenangan Verona semalam amat menggembirakan para penyokong mereka
yang membanjiri Stadio Bentigodi selepas sekian lama pasukan itu beraksi
dalam saingan liga bawahan.
Dalam pada itu, jurulatih Milan, Massimiliano Allegri ternyata tidak
berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya dalam perlawanan
tersebut.
"Kami beraksi buruk dalam perlawanan ini dan saya akan pastikan perkara itu tidak akan berulang selepas ini.
"Kami banyak melakukan kesilapan teknikal serta taktikal dan beliau berharap Milan akan bangkit selepas ini," katanya. - Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan