Selasa, 20 Ogos 2013

United 'bermain api'


BAINES (depan) dan Fellaini (belakang) sekali lagi dikaitkan dengan perpindahan ke United musim ini.


LONDON - Manchester United dilaporkan cuba mencetuskan kemarahan Everton.
Skuad The Red Devils dijangka mengemukakan tawaran baharu bagi mendapatkan dua pemain Everton, Marouane Fellaini dan Leighton Baines.

Everton menganggap tawaran bernilai £28 juta (RM144.5 juta) daripada juara bertahan Liga Perdana England itu sebagai satu ejekan dan bersifat kurang ajar.

Everton berang setelah United cuba menggandingkan semula Fellaini dan Baines dengan bekas pengurusnya, David Moyes yang membeli kedua-dua pemain tersebut ketika berada di Goodison Park.

"Kedua-dua tawaran tersebut telah ditolak serta merta.
"Kelab ini tidak akan memberi maklumat lanjut secara terbuka kerana kami mahu memastikan persiapan Roberto Martinez (pengurus) pada awal saingan Liga Perdana England ini tidak terjejas," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Everton kelmarin.

Tawaran yang dikemukakan United itu turut disertakan dengan syarat tambahan iaitu pertukaran seorang pemain United.

Ketua Eksekutif United, Ed Woodward mengemukakan tawaran bernilai £16 juta (RM82.6 juta) kepada Fellaini dan £12 juta (RM61.9 juta) untuk Baines minggu lalu.

Meskipun Everton menolak tawaran tersebut serta merta, ia bukan satu halangan buat United yang mempunyai dana sekitar £70 juta (RM361 juta).

Moyes juga terdesak untuk memperkuatkan posisi tengah terutamanya menjelang aksi bertemu Chelsea pada aksi Liga Perdana England di Old Trafford, Isnin depan.

Moyes berharap untuk membawa Fellaini ke Old Trafford secepat yang mungkin.

Sebelum ini, The Red Devils telah mencetuskan kemarahan Everton dengan melantik Moyes sebagai pengganti Alex Ferguson dan kali ini, mereka dijangka tidak akan bekerjasama sekali lagi untuk melepaskan kedua-dua pemain tonggak itu. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan