MANCHESTER - Manchester United dilaporkan bersedia untuk membuat
tawaran ketiga dan terakhir bernilai £35 juta (RM172 juta) bagi membawa
pemain tengah Barcelona, Cesc Fabregas ke Old Trafford.
Pemain tengah antarabangsa Sepanyol itu menjadi sasaran utama pengendali baharu United, David Moyes sepanjang musim panas ini.
Juara Liga Perdana England itu telah beberapa minggu mengadakan rundingan dengan skuad The Catalan.
Pada mulanya, skuad The Red Devils telah membuat bidaan bernilai £26 juta (RM127.7 juta) dan kemudian £30 (RM147.4 juta), namun ditolak Barca.
Kini, United tidak berputus asa dan bersedia untuk membuat tawaran
ketiga bagi mengatasi rekod Alex Ferguson yang membeli Dimitar Berbatov
sebanyak £30.75 juta (RM151.1 juta) pada 2008.
Bagaimanapun, jurulatih baharu Barca, Gerardo Martino berkata, mereka tidak akan menjual Fabregas.
"Saya tidak terlibat dalam urusan akaun kelab tetapi saya sedar kelab
ini telah menolak tawaran untuk mendapatkan Fabregas sebanyak dua kali.
"Saya menjangka tawaran kali ketiga ini juga akan ditolak," kata Martino.
Sementara itu, terdapat laporan yang mendedahkan bahawa Fabregas ada
menyuarakan keinginan untuk kembali bersatu dengan bekas rakan sepasukan
di Arsenal, Robin van Persie di Old Trafford.
Namun, dia sedar Barca pasti berkeras tidak mahu melepaskannya meskipun mendapat tawaran lumayan daripada United.
Sebagai alternatif, jika United gagal membawa masuk Fabregas, mereka
dijangka memburu Marouane Fellaini dan Luka Modric. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan