|
IBARATNYA, kalau tiada angin masakan pokok boleh bergoyang! Analogi
kisah cinta Fathia dan Aiman itu sehingga kini masih tersimpan dalam
kotak rahsia dua pelakon muda itu.
Kuncinya tergenggam erat antara Fathia atau Aiman. Kalau sebelum ini
Aiman enggan mengulas lanjut mengenai gosip kisah cintanya bersama
Fathia ekoran enggan memalukan kedua-dua belah keluarga, Kosmo!
mendapatkan respons daripada Fathia pula.
Jawapan lebih mendalam dan utuh disertakan Fathia untuk menjawab teka-teki yang bersarang di minda peminatnya selama ini.
Ironi, baru hujung minggu lalu si empunya badan mengaku memang
bercinta dengan jejaka tinggi lampai tersebut dalam sebuah akhbar
mingguan. Bagaimanapun, apabila diminta penjelasan lanjut agar khalayak
tidak keliru dengan 'sandiwara cinta' mereka, Fathia tetap menegaskan
hubungannya dengan Aiman masih berada dalam fasa perkenalan yang
memerlukan masa untuk duduk selesa dalam sebuah hubungan cinta.
"Bercinta atau tidak, itu tidak penting. Yang penting kami dapat keserasian bila bergabung bersama. Jodoh itu di tangan Tuhan.
"Sebelum ini pun banyak gosip keluar pasal saya dan tidak pernah
reda, sudah menjadi perkara normal untuk saya menerima gosip-gosip ini
sampaikan kalau saya beritahu perkara betul pun tetap jadi gosip. Jadi
lebih baik saya berdiam diri," jelasnya yang ditemui ketika sesi
fotografi di studio Utusan baru-baru ini.
|
Aiman yang jujur
Menghuraikan lebih jelas maksud keakraban antaranya dan Aiman sejak
kali pertama dilihat intim ketika sama-sama ke Paris, Perancis bulan
April lalu, Fathia akui Aiman sering menemaninya keluar.
"Kami selalu lepak bersama, malah kami juga banyak digandingkan
bersama sekarang. Hubungan yang terbentuk dalam setiap lakonan kami
adalah selesa dan tidak kekok.
"Jujur saya akui dia ialah pelakon lelaki yang paling selesa untuk
saya berlakon bersama setakat ini," ujar Fathia yang mula mengenali
Aiman menerusi set penggambaran drama Diandra beberapa bulan lalu.
Digosipkan bercinta dan saling memadu asmara, Fathia hanya membalas
dengan senyuman. Pelakon filem Darah Panas itu sebenarnya enggan
memberikan sebarang kenyataan yang dikhuatiri mampu menjerat dirinya.
Fathia bagaimanapun menyifatkan Aiman seorang pelakon yang tidak
pernah membanggakan diri, sentiasa menghormati pelakon lain dan seorang
yang jujur. Malah, kualiti itu kata Fathia, mengeratkan hubungan mereka
berdua.
"Ya, kami memang rapat tapi belum ada sebarang perancangan. Aiman
lelaki kedua selepas ayah saya!" simpul Fathia yang seperti memberi
gambaran bahawa Aiman sebagai lelaki penting dalam hidupnya.
Ganggu konsentrasi
Dalam pada itu, sebelum ini pernah timbul dakwaan yang menyifatkan
Aiman sengaja menipu pihak produksi semata-mata untuk berjumpa dengan
Fathia sehingga menjejaskan jadual penggambaran.
Secara tidak langsung, situasi itu menyebabkan Fathia dilihat seperti
cuba mengganggu prestasi dan reputasi baik Aiman selama ini.
"Aiman pernah beritahu saya bahawa dia terpaksa lari dari lokasi
penggambaran kerana ahli keluarganya sakit dan tidak elok untuk
mengaitkan saya dengan cerita-cerita negatif. Itu sama sekali tidak
betul.
"Sejak kami mengenali antara satu sama lain, karier kami masih berjalan lancar.
"Prestasi dia terganggu bukan sebab siapa-siapa dan saya sama sekali
menafikan dakwaan itu. Kami berkawan dan sudah tentulah saya menyokong
kerjaya seni dia," katanya.
Sementara itu, Fathia turut mengulas berkenaan sekeping gambar
bersama Aiman yang dilihat berpelukan dalam keadaan gelap yang telah
dikirimkan menerusi e-mel kepada Kosmo! baru-baru ini.
"Gambar itu mungkin telah dirakamkan oleh kru produksi atau pelakon
tambahan ketika penggambaran drama bersiri Diandra yang melibatkan saya
dan Aiman.
"Itu gambar kandid dan tidak menyampaikan apa-apa makna tersirat.
Lagipun, pakaian yang kami pakai ketika itu masih pakaian konti,"
tegasnya.
Terlanjur berbicara mengenai drama Diandra yang telah mula disiarkan
di TV3 untuk slot Lestary pukul 9 malam setiap hari Selasa, Fathia
memberitahu, dia pertama kali diberikan kepercayaan untuk membawakan
watak gadis kasar yang bercinta dengan lelaki kasanova.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan