SEPANJANG bergelar penyanyi rock wanita selama 30 tahun, sudah
pelbagai konsert dijayakan oleh Ella sejak mula dikenali ketika
bersama-sama dengan kumpulan Ella & The Boys dahulu.
Sudah berpengalaman menghiburkan peminat dalam konsert-konsert yang
berskala besar, namun untuk konsert terbaharu ini pastinya memberikan
kelainan buat penyanyi berasal dari Klang, Selangor itu.
Tanggal 21 September ini (Sabtu) para peminat akan berpeluang
menyaksikan persembahan istimewa Ella sempena Konsert MPO Rocks bersama
Mus May dan Man Kidal yang akan berlangsung di Dewan Filharmonik
Petronas (DFP).
Ditemui semasa acara makan malam eksklusif bersamanya di Menara Kuala
Lumpur baru-baru ini, Ella meluahkan rasa terujanya kerana beraksi di
pentas DFP merupakan satu peluang yang tidak harus dlepaskan sama
sekali.
"Saya rasa begitu berbangga dengan konsert yang bakal berlangsung
ini, apatah lagi persembahan saya nanti akan diiringi oleh pemuzik
Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO).
"Ia merupakan suatu kelainan yang akan ditampil- kan berbanding
konsert sebelum ini. Tambahan pula bergabung dengan pemuzik hebat
seperti MPO, pastinya ia memberi kenangan tersendiri kepada penonton,"
jelasnya tentang konsert sulungnya di DFP.
Menyedari tentang kesukaran untuk menembusi pentas DFP, terutamanya
buat penyanyi rock seperti dirinya, pemilik nama sebenar Norzila
Aminuddin itu meluahkan kegembiraannya kerana pihak DFP telah membuka
pintu buat muzik rock.
Ujarnya, peluang yang diraihnya itu juga dianggap sebagai suatu
cabaran yang cukup besar kerana membuat persembahan diiringi oleh
orkestra sesuatu yang cukup asing buat dirinya sepanjang bergelar
penyanyi.
"Kita semua sedia maklum DFP merupakan sebuah pentas yang cukup
berprestij dan mereka cukup selektif untuk memilih artis-artis yang
membuat persembahan di situ.
"Jadi, konsert ini dilihat sebagai suatu penghargaan buat muzik rock.
Lagipun saya diberitahu pemuzik di MPO begitu teruja dan tercabar
memandangkan mereka belum pernah memainkan muzik rock sebelum ini,"
luahnya.
Bercerita lebih lanjut mengenai Konsert MPO Rocks yang bakal
dijayakannya itu, penyanyi tersebut menyatakan, semuanya bermula dengan
tawaran yang diterima kira-kira tiga bulan lalu.
FIGURA ini sedang meniti kebahagiaan dalam alam rumah tangganya.
|
Setelah perbincangan demi perbincangan dilakukan dengan pihak MPO,
akhir- nya Ella telah memberikan persetujuan pada bulan lalu untuk
membuat persembahan di DFP.
"Perbincangan berlangsung dengan cukup lancar dan mereka telah
memberikan kebebasan kepada saya. Misalnya, menggunakan pemuzik tambahan
yang akan mengiringi konsert saya nanti.
"Mereka telah bersetuju untuk saya menggunakan khidmat pemuzik
seperti Man Kidal, Rody Kristal Acis dan Ahamd Muriz manakala lagu-lagu
nyanyian saya pula merupakan pilihan MPO," jelasnya.
Bakal membuat persembahan selama 45 minit, Ella akan mempersembahkan
lagu- lagu malar segarnya seperti Layar Impian, Sepi Sekuntum Mawar
Merah, Standing In The Eyes Of The World, Dua Insan dan Sembilu.
Pembedahan
Di sebalik keterujaannya bercerita tentang konsert yang akan
dijayakannya itu, terdapat cerita tersendiri yang belum diketahui umum
mengenai tahap kesihatannya.
Tutur Ella, kira-kira tiga minggu lalu dia telah menjalani pembedahan
akibat apendiks setelah mengalami kesakitan yang agak teruk di bahagian
perut selepas menjayakan sebuah persembahan.
"Sehari sebelum saya menjalani pembedahan keadaan saya agak teruk
kerana menahan kesakitan yang agak luar biasa sehinggalah pemeriksaan di
buat di hospital.
"Kemudian saya didapati mengalami masalah apendiks yang cukup serius
dan doktor menyatakan saya perlu dibedah segera. Saya bersyukur kerana
pembedahan berjalan dengan lancar," jelasnya.
Luah Ella, biarpun keadaannya sudah semakin pulih sekarang ini, namun
kerisauan tetap dirasainya kerana bimbang tidak dapat memberikan yang
terbaik semasa konsertnya itu.
JARANG bertemu suami, Ella mengakui dirinya dirundung perasaan rindu.
|
Ujarnya, selepas melakukan pembedahan dia telah dinasihatkan oleh
doktor supaya tidak terlalu aktif dan bergerak. Bagaimanapun, dia
berharap keadaannya itu bukanlah suatu penghalang besar buat dirinya
untuk menghiburkan peminat.
"Saya yakin dapat membuat persembahan dengan baik dan tidak mahu
keadaan yang dialami ini mengganggu fokus saya. Lebih penting saya mahu
para peminat tidak melepaskan peluang untuk hadir pada konsert MPO Rocks
nanti," ujarnya.
Jarang bertemu
Selain asyik bercerita tentang konsert yang bakal dijayakannya itu,
Ella tidak terlepas daripada diajukan persoalan berkenaan dengan
kehidupan rumah tangganya setelah lebih setahun bergelar isteri kepada
Azhar Husaini Ghazali.
Menurut Ella, melayari kehidupan sebagai seorang isteri sesuatu yang
cukup menggembirakan, meskipun jarang bertemu dengan suami tercinta yang
bertugas sebagai juruterbang bersama syarikat penerbangan Firefly.
"Adakalanya perasaan rindu itu pastinya menjelma dalam diri apabila
jarang bertemu, namun sebagai isteri saya perlu memahami kerjaya Azhar
selaku juruterbang.
"Kalau ada masa terluang kami akan gunakan sebaik-baik mungkin untuk bersama.
"Sekiranya masing-masing tidak sibuk, kami akan pergi bercuti
bersama-sama yang akan turut disertai ahli keluarga yang lain,"
jelasnya.
Akuinya, sepanjang bergelar isteri kehidupannya kini sudah jauh berbeza.
Sebagai contohnya, Ella tidak boleh terlalu bebas melakukan apa
sahaja seperti sebelum berkahwin tetapi dia menganggapnya sebagai
perubahan yang positif.
"Saya dan suami selalu berbincang dan akan memberikan pandangan
masing-masing sekiranya timbul sesuatu perkara. Setakat ini tidak
berlaku sebarang perselisihan faham yang besar, setakat gaduh-gaduh
manja itu biasalah," ujarnya.