Rabu, 4 September 2013

Moyes pertahan Fellaini


FELLAINI (kanan) akan membuat penampilan pertama dengan United pada aksi Liga Perdana England di Old Tarford menentang Crystal Palace pada 14 September depan.


LONDON - David Moyes yakin Marouane Fellaini akan melakar kejayaan cemerlang dengan Manchester United selepas melengkapkan perpindahan ke Old Trafford pada saat-saat akhir kelmarin.
Moyes yang membawa Fellaini ke Everton ketika membimbing kelab tersebut sebelum ini, berjaya mendapatkan perancang Belgium itu dengan harga £27.5 juta (RM141 juta) selepas beberapa tawarannya ditolak.

Jumlah tersebut adalah lebih £4 juta (RM20.5 juta) daripada harga penebusan kontrak Fellaini yang akan berakhir hujung Julai ini, sekali gus menjadikan dia pemain keempat termahal yang dibeli United selepas Dimitar Berbatov, Rio Ferdinand dan Wayne Rooney.

Setelah menghabiskan masa empat tahun bersama Fellaini di Everton, Moyes yakin pemain berusia 25 tahun itu mampu memantapkan skuad The Red Devils.

"Fellaini merupakan seorang pemain yang serba boleh.

"Dia memiliki sifat-sifat yang tidak ada dalam diri pemain lain. Berdasarkan kualiti yang ada padanya, saya jamin dia akan menjadi tonggak penting United," kata Moyes.

Persaraan Paul Scholes dan Darren Fletcher yang masih dibelenggu kecederaan menyebabkan United menghadapi krisis di posisi tengah.

Bagaimanapun, kehadiran Fellaini bakal memberi pengurus The Red Devils itu lebih banyak pilihan di posisi tersebut.

"Dia boleh bermain di posisi tengah jika kami memerlukannya, iaitu di belakang penyerang utama.
"Dia juga boleh bermain sebagai perancang. Malah, dia sebenarnya boleh diberi tugas dalam mana-mana posisi di bahagian tengah," kata Moyes. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan