PERSATUAN Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) menjelaskan bahawa mereka
telah menubuhkan Jawatankuasa Integriti sebelum Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) mewajibkan semua ahli gabungan badan induk itu berbuat
demikian.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh PBNJ semalam,
jawatankuasa itu telah ditubuhkan pada 12 Jun 2012 semasa Mesyuarat
Eksekutif Kedua Sesi 2012/2016 yang dipengerusikan Presiden PBNJ, Tunku
Ismail Idris Sultan Ibrahim (gambar).
Bagaimanapun, menurut kenyataan itu lagi, jawatankuasa tersebut
dikenali sebagai Jawatankuasa Penyiasat, Keselamatan dan Perubatan.
Hal itu juga telah dimaklumkan secara rasmi oleh Setiausaha Kehormat
PBNJ, Fahmy Yahya yang turut menghadiri Mesyuarat Setiausaha
Agung/Kehormat/Ahli-ahli FAM yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya
kelmarin.
"Salah satu matlamat dan objektif dalam jawatankuasa ini adalah untuk
menyiasat segala salah laku pemain dan pegawai dalam pasukan di bawah
PBNJ, jawatankuasa ini juga dipengerusikan oleh Ketua Polis Johor, Datuk
Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff.
"Sebagai contoh dalam isu mengatur perlawanan, PBNJ bekerjasama
dengan Jabatan Siasatan Jenayah D7, Ibu Pejabat Kontinjen Johor sudah
membuat siasatan awal sejak bermulanya Liga Malaysia 2013 berhubung isu
tersebut yang membabitkan bookie dalam arena bola sepak tempatan," kata
kenyataan itu.
Berikutan tindakan PBNJ itu, FAM telah menghantar satu surat
bertarikh 4 April lalu yang mahukan semua ahli gabungannya menetapkan
satu tarikh khusus bagi mengadakan satu kunjungan antara pihak polis dan
FAM di setiap negeri bagi menangani isu bookie dalam bola sepak.
"Bagaimanapun, PBNJ menolak secara baik dalam surat rasmi bertarikh
17 Mei lalu kerana PBNJ terlebih dahulu mengambil inisiatif membanteras
kegiatan tersebut pada Mac lalu," kata kenyataan itu lagi.
Bagaimanapun, selaras dengan kehendak FAM, PBNJ akan menukar nama
jawatankuasa tersebut kepada Jawatankuasa Integriti dengan kadar segera.
Semalam Kosmo! melaporkan kenyataan Setiausaha Agung Persatuan
Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin yang mendedahkan
PBNJ antara tiga persatuan bola sepak (FA) negeri selain Pulau Pinang
dan Sarawak yang masih belum secara rasmi mewujudkan Jawatankuasa
Integriti.
Hamidin dilapor berkata, ketiga-tiga persatuan tersebut diberikan
tempoh seminggu bagi mewujudkan Jawatankuasa Integriti di peringkat
negeri masing-masing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan