|
PERCINTAAN selama tiga tahun antara aktres Rozita Che Wan, 40, atau
mesra disapa Che Ta dan pelakon Zain Saidin, 29, bukan lagi rahsia.
Kontroversi yang dilalui sepanjang hubungan cinta itu bukan kepalang,
namun kini satu Malaysia bagai merestui perhubungan tersebut termasuk
dua anak bujang Che Ta sendiri, Ammar Effendy, 17, dan Aniq Ezzra, 15.
Buat pertama kalinya, anak sulung Che Ta, Ammar mengulas tentang
hubungan ibunya dengan lelaki yang dipanggilnya dengan gelaran Uncle
Zain itu.
"Ketika mula-mula dapat tahu mummy bercinta dengan Uncle Zain saya
terkejut juga kerana saya tidak kenal siapa dia, jarang-jarang lihat dia
berlakon di televisyen.
"Selepas tahu, saya selidik juga tentang Uncle Zain dan tengok drama
lakonannya. Lihat wajahnya seperti orang putih, tetapi boleh pula cakap
Melayu (ketawa).
"Sekarang okey kerana sudah kenal lama dan kami pun selalu keluar bersama," kata Amar.
Akuinya, walaupun Zain jauh lebih muda berbanding ibunya, tetapi tokoh seorang bapa terlihat jelas pada Zain.
"Bagi saya, Uncle Zain seorang lelaki yang bertanggungjawab,
mengambil berat dan saya boleh menerimanya sebagai bapa andai dia
berkahwin dengan ibu saya selepas ini.
"Umur bukan masalah, janji dia boleh menjaga keluarga dengan baik dan
mummy gembira, saya pun turut gembira dengan kehidupan baharu yang
bakal mummy lalui," balasnya penuh matang.
Bagaimanapun, Ammar yang belajar di sekolah berasrama penuh mengakui
pernah berasa tertekan apabila ibunya dikatakan merancang untuk
berkahwin pada bulan Julai lalu.
"Rasanya sepanjang mereka bercinta, saya rasa tertekan apabila keluar
cerita di akhbar yang mengatakan ibu saya akan berkahwin pada bulan
Julai, sedangkan saya sendiri sebagai anaknya tidak tahu apa-apa.
"Memang sangat terkejut sebab saya dapat tahu pun daripada rakan-rakan yang bertanyakan hal itu kepada saya," jelasnya.
Namun, selepas dijelaskan hal yang sebenar oleh ibunya, Ammar dapat menerima berita tersebut dengan baik.
"Biasanya apabila keluar cerita kontroversi di akhbar atau internet
tentang mummy, saya akan terus hubunginya dan bertanya hal sebenar.
"Selepas diterangkan apa sebabnya dan hal yang sebenar, saya terus
okey. Walaupun orang tulis apa sahaja tentang mummy, paling penting
mummy selalu jujur dengan anak-anaknya," ucap Ammar.
CHE TA bertuah kerana anak-anaknya memahami dan merestui keputusannya untuk mengahwini Zain.
|
Raya dengan bapa kandung
Bercerita tentang sambutan Aidilfitri kali ini, kata Ammar, dia dan
adiknya, Aniq beraya dengan bapa mereka selepas tiga tahun beraya di
kampung halaman ibunya di Alor Setar, Kedah.
"Tahun ini, saya akan beraya di Kuala Lumpur dengan ayah sahaja kerana sudah tiga tahun raya dengan mummy.
"Raya kedua, kami adik-beradik akan ikut ayah bercuti ke Turki. Jadi,
raya kami agak berbeza dan seronok tahun ini kerana dapat melancong ke
luar negara," ungkap Ammar.
Mempunyai 10 pasang baju raya dan lima pasang kasut baharu yang telah
disediakan oleh ibunya, tutur Ammar lagi, dia juga bersedia andai tahun
hadapan akan beraya dengan bakal bapa tirinya.
"Rasanya okey sahaja kalau tahun hadapan beraya dengan Uncle Zain
sebagai bapa baharu. Seronok juga, kira rutin raya kami akan berubah
sedikit.
"Lagipun, Uncle Zain bukan orang baharu dalam hidup kami, saya juga
doakan yang terbaik untuk mummy dan Uncle Zain. Sebagai anak, saya harap
mereka akan bahagia," ujar Ammar.
Teruja bergelar isteri Zain
Bercakap tentang hubungannya dengan Zain, Che Ta mengakui dia begitu teruja untuk kembali memikul gelaran sebagai isteri.
"Terkejut juga ketika dilamar Zain pada hujung tahun lalu dengan
sebentuk cincin. Ketika bercinta dengannya, kami tidak pernah berbincang
soal kahwin sehinggalah tahun lalu.
"Bukan apa, saya sedar dia orang muda dan ramai lagi wanita muda yang boleh menjadi pilihannya, tetapi akhirnya dia pilih saya.
"Saya tahu bukan mudah untuk seorang lelaki membuat keputusan dalam memilih teman hidup.
"Sebelum ini kami sembunyikan hubungan cinta kerana bimbang putus di
tengah jalan. Jadi, bila benar-benar ada perancangan ke peringkat yang
lebih serius, barulah kami dedahkan hubungan kami," katanya.
Disoal apakah perasaannya bakal bergelar isteri kepada Zain, Che Ta
hanya tertawa menandakan dia cukup bahagia dengan lelaki kacukan
Melayu-Inggeris itu.
"Mestilah teruja untuk bergelar isteri kerana saya rasa keluarga saya
cukup lengkap. Namun, selagi belum berlangsung majlis akad nikah,
selagi itu saya tidak boleh kata Zain adalah jodoh saya," luahnya.
Walaupun heboh diperkatakan Che Ta dan Zain bakal bernikah selepas
sambutan Aidilfitri pada tahun ini, tuan empunya badan menjelaskan,
sehingga hari ini mereka berdua belum menetapkan sebarang tarikh untuk
majlis pernikahan.
"Memang belum ada sebarang persiapan kerana tarikh kahwin pun belum ada.
"Kami berdua terlalu sibuk, jadi tidak tahu bila tarikh yang sesuai.
Macam mana pun kami akan berkahwin juga pada tahun ini," akui Che Ta.
Walaupun mengimpikan majlis perkahwinan yang ringkas kerana ini
perkahwinan keduanya, tetapi menurut Che Ta, keluarga Zain pasti
mempunyai impian yang berbeza kerana ini perkahwinan pertama anak lelaki
mereka.
"Saya ingin majlis akad nikah yang ringkas sahaja tetapi Zain
mempunyai perancangan yang lain. Tengok macam mana kerana banyak juga
pihak ingin menaja majlis perkahwinan kami nanti," tuturnya.
PADA tahun ini, anak-anak Che Ta beraya dengan bapa mereka.
|
Beraya di Alor Setar
Sama seperti tahun-tahun sebelum ini, setiap kali raya, Che Ta akan
pulang beraya di kampung halamannya di Alor Setar, Kedah bersama
ketujuh-tujuh adik beradiknya.
"Tahun ini, keluarga saya memang meriah kerana semua adik-beradik
saya beraya bersama di Kedah. Seperti biasa raya ketiga kami buat rumah
terbuka untuk keluarga dan peminat.
"Selepas itu, mungkin saya akan buat rumah terbuka di Kuala Lumpur
pada minggu kedua raya untuk rakan-rakan dan keluarga," katanya yang
sudah pun pulang ke Kuala Lumpur pada hari raya keempat kerana komitmen
kerja.
Selain beraya dengan keluarga, sudah menjadi kelaziman buat Che Ta
untuk singgah beraya di rumah bakal mertuanya di Kuala Lumpur.
"Jika ada kelapangan, saya akan singgah beraya di rumah keluarga
Zain. Bagi saya, apa salahnya untuk mengeratkan silaturahim, lagipun
saya sudah kenal ibu dan keluarga Zain," tuturnya.
Tambahnya, tahun ini walaupun merupakan raya terakhirnya sebagai wanita solo, dia hanya meraikannya dengan penuh sederhana.
"Tidaklah kata saya mahu beraya sakan sebab tahun hadapan saya sudah bersuami.
"Rasanya lebih seronok beraya dengan suami walaupun nanti kami harus
bergilir-gilir sambut raya di rumah keluarga masing-masing," ujarnya
yang mempunyai tiga pasang baju raya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan