Jumaat, 9 Ogos 2013

Suarez tiada 'nilai harga'


LONDON - Pemilik Liverpool, John W Henry seolah-olah mahu menambah duka di hati Luis Suarez.

Ini kerana Henry menegaskan bahawa penyerang kontroversi Liverpool itu tidak akan sesekali dijual pada sebarang harga.

Suarez yang terdesak mahu meninggalkan Anfield sejak musim lalu gara-gara terdesak mahu beraksi di pentas Eropah ketika ini diburu Arsenal.

Arsenal yang telah mengaktifkan klausa pelepasan kontrak penyerang Uruguay itu selepas membuat tawaran sebanyak £40 juta (RM199.3 juta) termasuk £1 (RM5 juta) baru-baru ini.

Namun, Liverpool menafikan wujudnya klausa pelepasan kontrak sedemikian sehingga mengundang kemarahan Suarez yang mendakwa pengendali The Reds, Brendan Rodgers berjanji membenarkannya pergi jika mereka gagal beraksi dalam kempen Liga Juara-Juara.

"Kami tidak akan menjual Suarez kepada seteru kami dalam saingan liga domestik dan ia satu keputusan yang penting bagi Liverpool dan juga mana-mana pasukan.

"Menjual pemain kepada lawan kami adalah satu tindakan yang tidak masuk akal.

"Kami masih memerlukan pemain utama bagi membantu kami layak ke pentas Eropah musim depan," kata Henry.

Pada masa sama, Henry juga tidak gerun dengan ugutan Suarez berhubung pelepasan kontrak berkenaan.

"Kami tidak akan sesekali menjual Suarez kepada Arsenal dan telah memaklumkan perkara itu kepada Ketua Eksekutif Arsenal, Ivan Gazidis," jelasnya.

Selain itu, Henry juga menolak kemungkinan Suarez akan dijual kepada gergasi Sepanyol, Real Madrid.

"Pada peringkat ini, ia sudah terlalu lewat untuk menjual mana-mana pemain kepada kelab luar.
"Pendek kata, Suarez tidak akan dijual kerana kami tidak mempunyai masa yang cukup memburu pemain pengganti yang berkualiti," jelas Henry.

Suarez bakal terlepas enam aksi awal musim ini selepas didapati bersalah menggigit tonggak pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic pada kempen liga musim lalu. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan