MADRID - Ketiadaan Cristiano Ronaldo dan Gareth Bale dilihat
menjejaskan rentak Real Madrid apabila sekadar seri tanpa jaringan
dengan Olimpic Xativa dalam aksi pertama pusingan keempat Piala Raja
Sepanyol awal pagi semalam.
Ronaldo tidak beraksi selepas menjalani hukuman penggantungan
perlawanan gara-gara dilayangkan kad merah semasa tewas kepada Atletico
Madrid pada perlawanan akhir musim lalu sementara Bale diketepikan
kerana menghidap selesema.
Dengan ketiadaan kedua-dua pemain itu, pengendali The Galacticos,
Carlo Ancelotti mempertaruhkan gandingan penyerang muda, Alvaro Morata
dan Jese Rodriguez.
Biarpun gagal memberikan impak yang diharapkan, Ancelotti tetap berpuas hati dengan keputusan tersebut.
"Pemain tetap mempamerkan aksi yang baik, jadi saya tidak begitu bimbang dengan ketumpulan jentera penyudah.
"Namun, permukaan padang tiruan menjejaskan rentak permainan kami
kerana kami tidak biasa beraksi di atas permukaan itu," kata Ancelotti.
Kedua-dua pasukan bakal berentap semula dalam aksi kedua di Santiago Bernabeu pada 19 Disember depan.
Dalam pada itu, juara bertahan, Atletico Madrid tidak berdepan masalah mengatasi Sant Andreu 4-0 dalam satu lagi aksi semalam.
Dalam perlawanan itu, dua gol jaringan Arda Turan serta satu gol
masing-masing jaringan Raul Garcia dan David Villa sudah cukup untuk
menjamin kemenangan selesa Atletico.
"Pemain berjaya memberikan komitmen yang cukup bagus, kami berjaya
menguasai permainan dan kemenangan selesa ini benar-benar melegakan.
"Saya juga gembira dengan kemampuan pemain seperti Turan dan Garcia
yang berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan ini," kata pengendali
Atletico, Diego Simeone. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan