11 kesilapan punca kalah: Mourinho  
 Jose Mourinho
 
London: Jose Mourinho menyalahkan dirinya sendiri ketika skuad kendaliannya tumbang 2-0 kepada Newcastle di St James Park dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL), kelmarin.

Pengendali The Blues itu cukup berang namun enggan meletakkan semua kesalahan kepada pemainnya selepas rentetan enam kemenangan berturut-turut kelab itu ditamatkan menerusi jaringan pemain Perancis, Yoan Gouffran dan Loic Remy.
“Saya melakukan 11 kesalahan dengan pemilihan pasukan, 11 kesilapan,” kata Mourinho. “Itu perasaan saya apabila pasukan saya bermain begitu teruk. Kami memang patut kalah kerana dalam 45 minit kami bermain pada tahap perlawanan persahabatan.


“Keputusan itu membuktikan fakta yang satu pasukan tiada di sana. Kami tidak agresif dan kurang kekuatan. Ia adalah persembahan buruk dan membuatkan saya banyak berfikir di rumah kerana saya perlu cuba untuk memahami di mana mereka mendapat persembahan seperti ini.

“Saya amat bimbang jika mereka bermain seperti ini sekali lagi,” kata Mourinho yang sebelum ini pernah mengendali The Blues menggunakan pendekatan rapat dengan pemainnya dan cuba memahami apa yang mereka mahukan.

Chelsea yang ketika ini menduduki tangga kedua liga mempunyai rekod 100 peratus di laman sendiri namun di laman lawan, situasi cukup berbeza dengan hanya satu kemenangan daripada lima perlawanan.

“Kami hanya menang sekali di tempat lawan dalam liga musim ini dan ia membimbangkan saya,” kata Mourinho. - Agensi