Barcelona perit tanpa Messi lapan minggu Lionel Messi
 
Barcelona: Bintang Barcelona, Lionel Messi bakal diketepikan enam hingga lapan minggu berikutan terkoyak otot paha kiri yang juga kecederaan kaki ketiga dialaminya musim ini, menurut gergasi Sepanyol itu kelmarin.

Pemain antarabangsa berumur 26 tahun dari Argentina itu terpaksa dikeluarkan hanya selepas 20 minit perlawanan dan digantikan dengan Andres Iniesta yang menyaksikan Barcelona menang 4-1 ke atas Real Betis, Ahad lalu.
Ia adalah kali ketiga musim ini yang menyaksikan dia terpaksa dikeluarkan kerana kekejangan otot dan kecederaan paha kanan.


“Pihak perubatan kelab mengesahkan selepas ujian yang dibuat Isnin lalu mendapati Leo Messi mengalami koyakan di otot paha kirinya dan dijangka akan terlepas perlawanan untuk enam hingga lapan minggu,” menurut kenyataan Barcelona.

Bukan alasan

“Fasa pertama pemulihan Messi akan dibuat di Barcelona dan selepas itu dia akan ke Buenos Aires,” kata kenyataan itu.

Ini bermakna Barcelona tanpa Messi dalam lapan perlawanan, termasuk dua aksi kumpulan Liga Juara-Juara menentang Ajax dan Celtic.
Selepas perlawanan Ahad lalu, pengurus Barcelona Gerardo Martino berkata, ketiadaan pemain itu tidak boleh dijadi alasan untuk tidak memberi persembahan terbaik.

“Kami mempunyai pemain terbaik dunia tetapi kami juga ada empat atau lima lagi pemain dalam kelompok enam atau tujuh terbaik dunia. Jadi, ketiadaan Messi tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak menang.”
AFP