Ahad, 10 November 2013

Misi hidup mati Harimau Malaya



PERTAHANAN Harimau Malaya, Aidil Zafuan Abdul Radzak (kanan) mengekang gerakan pemain Bahrain, Sami Mohamed Saeed Alhusaini pada kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam bulan lalu.


TUGAS getir menanti Harimau Malaya ketika berdepan Bahrain dalam aksi Kumpulan D kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Nasional, Manama Jumaat ini.

Pengkritik bola sepak, Reduan Abdullah berkata, situasi kali ini pastinya berbeza buat skuad kendalian Datuk K. Rajagobal berbanding ketika seri 1-1 dengan pasukan yang sama di Stadium Shah Alam pada 15 Oktober lalu.

Menurut beliau, Bahrain yang dikendalikan Anthony Hudson kini kembali diperkuatkan dengan pemain utama yang diketepikan ketika di Shah Alam tempoh hari gara-gara kecederaan.

"Pada masa sama, faktor bermain di depan penyokong sendiri juga dilihat memberikan kelebihan buat Bahrain.

"Saya percaya perlawanan ini pastinya lebih sukar berbanding di Shah Alam namun itu bukan alasan buat Harimau Malaya mengaku kalah sebelum berjuang kerana ini misi hidup mati kita untuk layak ke Piala Asia," katanya kepada Kosmo! semalam.

Skuad Harimau Malaya kini menduduki tangga ketiga kumpulan dengan empat mata selepas tiga perlawanan, ketinggalan di belakang Bahrain dan Qatar yang mengutip tujuh dan enam mata.

Selain seri 1-1 dengan Bahrain, Malaysia terlebih dahulu tumpas 0-2 kepada Qatar sebelum kembali bangkit menewaskan Yemen 2-1 di laman sendiri, Mac lalu.

Selepas berdepan Bahrain, Malaysia bakal melayan kunjungan Qatar di Stadium Shah Alam empat hari kemudian sebelum berdepan Yemen di tempat lawan dalam aksi penutup tirai kumpulan pada 5 Mac tahun depan.

Justeru, Reduan mendesak Rajagobal supaya merencana strategi terbaik ketika berdepan Bahrain kelak.

"Hanya Rajagobal yang memiliki jawapan mengenai kemampuan kita mengatasi Bahrain atau tidak.
"Bagi saya, skuad kebangsaan tidak sewajarnya mempamerkan corak taktikal yang mudah dibaca lawan terutamanya hantaran jauh yang tidak berkesan.

"Sebaliknya, hantaran pendek yang efektif wajar dipamerkan kali ini bagi menjerat Bahrain sekali gus membawa pulang tiga mata berharga," jelas beliau.

Pada masa sama, Reduan juga kekal optimis mengenai kemampuan Harimau Malaya melangkah lebih jauh pada kempen kelayakan kali ini.

"Kita harus bersikap patriotik... pandangan dan kritikan sebelum ini juga bukan bersifat menghentam semata-mata.

"Pada masa sama, saya juga menyokong tindakan Rajagobal yang dilihat gemar menguji lawan seperti Kuwait sebelum berdepan Bahrain.

"Ini kerana aksi persahabatan sedemikian mampu mengenal pasti kelemahan pasukan.
"Jadi, sepatutnya tiada lagi eksperimen pemain ketika berdepan Bahrain nanti, sebaliknya kita perlu mempamerkan corak taktikal yang lebih berkesan supaya tidak mudah dibaca lawan," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan