‘Petanda baik buat United’ 
 Robin van Persie meledak gol kemenangan ke atas Arsenal.
 
Atasi Arsenal isyarat jelas Devils mampu kekal gelaran: Charlton

Manchester: Legenda Manchester United, Bobby Charlton percaya kejayaan The Red Devils menumpaskan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal 1-0 membuktikan mereka mampu mempertahankan kejuaraan dalam musim pertama David Moyes bersama pasukan itu.

Kemenangan hujung minggu lalu di Old Trafford menyaksikan United kini hanya ketinggalan lima mata di belakang Gunners manakala pencabar kejuaraan lain – Chelsea, Manchester City dan Tottenham Hotspur – semuanya tercicir mata.
United hanya memenangi tiga daripada lapan perlawanan pertama di bawah Moyes, bekas pengurus Everton yang mengambil alih ‘kerusi panas’ Alex Ferguson yang bersara selepas 26 tahun setengah memegang jawatan itu.


Mula bangkit

Bagaimanapun, mereka kini mencatat rekod sembilan perlawanan tanpa kalah dalam semua pertandingan dan Charlton percaya rekod itu sudah memadai untuk menutup mulut pengkritik yang meragui kemampuan pengendali dari Scotland itu.

“Terdapat sedikit kritikan tetapi saya tidak perlu menjawabnya kerana David sendiri sudah menjawabnya sendiri. Kami bukan jenis pasukan yang boleh berada di kedudukan bawah liga dan ia sangat meyakinkan untuk memperoleh semula keputusan yang bagus.

“Lagi pun, saya setuju dengan Sir Alex Ferguson yang menegaskan hanya kami satu-satunya pasukan dalam liga yang boleh memenangi kejuaraan mahkota liga walaupun ketinggalan dengan jurang mata yang besar,” kata Charlton yang memenangi Piala Dunia 1966 bersama England. Agensi