Isnin, 11 November 2013

United masih belum sempurna


MOYES (kanan) berjabat tangan dengan van Persie selepas tamat perlawanan semalam.


MANCHESTER - Pengurus Manchester United, David Moyes mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki anak-anak buahnya meskipun mereka berjaya membenam pendahulu Liga Perdana England, Arsenal 1-0 di Old Trafford awal pagi semalam.

Gol tunggal bekas penyerang The Gunners, Robin van Persie pada minit ke-27 sudah cukup untuk memisahkan buat United pulang dengan tiga mata berharga.

Dengan kemenangan itu, United yang mengutip 20 mata kini hanya dibezakan lima mata di belakang Arsenal selepas ditewaskan Liverpool, Manchester City dan West Bromwich Albion sebelum ini.

Kekalahan pencabar terdekat United, Manchester City dan Tottenham Hotspur selain Chelsea sekadar melakar keputusan seri juga menghidupkan semula peluang The Red Devils mempertahankan trofi liga musim ini.

Namun, Moyes menegaskan betapa perjuangan mereka masih belum selesai dan banyak perkara perlu diambil kira selepas ini.

"Bagi saya, ini merupakan satu lagi langkah untuk kembali ke landasan sebenar.

"Namun, perjalanan liga masih panjang dan saya memerlukan sedikit masa untuk memastikan segala-galanya memihak kepada kami," kata Moyes.

Moyes juga mengakui berpuas hati dengan kedudukan United sejurus sebelum saingan liga berhenti seketika bagi aksi persahabatan antarabangsa selepas ini.

"Masih banyak ranjau berliku menanti kami selepas ini.

"Pada permulaan musim, ramai sudah menjangkakan kami tidak akan bermula selesa gara-gara pertukaran pengurus.

"Saya juga percaya pasukan lain tidak akan memberikan laluan mudah buat kami, ini membuktikan United bukan lagi memonopoli saingan liga," katanya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan