MADRID - Cristiano Ronaldo meledak hatrik kali ketiga musim ini
ketika membantu Real Madrid membelasah Real Sociedad 5-1 pada aksi Liga
Sepanyol di Santiago Bernabeu awal pagi semalam.
Ronaldo membuka tirai jaringan pada minit ke-12 sebelum membantu
penyerang Perancis, Karim Benzema menjaringkan gol kedua Real enam minit
kemudian.
Bintang Portugal itu kemudian menambah gol ketiga Real menerusi
sepakan penalti pada minit ke-26 sebelum Gareth Bale membuka peluang
kepada Sami Khedira untuk menjadikan kedudukan 4-0 berselang sepuluh
minit kemudian.
Ronaldo melengkapkan aksi cemerlangnya di depan ribuan penyokong
sendiri dengan gol ketiga menerusi sepakan percuma pada minit ke-76,
sekali gus menambah koleksi 24 jaringan dalam 17 perlawanan setakat ini.
Antoine Griezmann pula menjaringkan gol tunggal Soceidad pada minit ke-61.
Kemenangan itu menyaksikan Real kini ketinggalan dua mata di belakang
jiran setempat, Atletico Madrid dan tiga mata mengekori pendahulu,
Barcelona.
"Kami mendapat gol dengan pantas dan semuanya berjalan dengan baik.
Selepas mendahului 4-0, kami beraksi lebih tenang dan perlahan pada
babak kedua.
"Keseluruhannya, saya berpuas hati dengan cara permainan kami
meskipun kami gagal mengekalkan rekod kemenangan sepenuhnya, namun kami
masih tetap mencipta kejayaan," jelas Ronaldo.
Sementara itu, jurulatih Real, Carlo Ancelotti berkata: "Ronaldo
seorang pemain luar biasa. Dia tenang menjaringkan gol dan sukar untuk
mencari pemain sepertinya di dunia ini.
"Saya rasa kami bermain dengan sempurna pada babak pertama. Kami beraksi dengan kepantasan serta efisyen di depan gol.
"Babak kedua kami memperlahankan sedikit tempo permainan, kami
berdepan beberapa masalah di bahagian belakang, namun keseluruhannya,
pemain pertahanan kami masih bagus," jelas Ancelotti. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan