Isnin, 11 November 2013

Liverpool merendah diri



SUAREZ (kiri) meraikan jaringannya bersama Coutinho pada aksi Liga Perdana England di Anfield kelmarin.


LIVERPOOL - Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers enggan mendabik dada dengan potensi The Reds mendakap trofi Liga Perdana England musim ini.

Liverpool kini menghuni tangga kedua liga dengan 23 mata selepas membelasah Fulham 4-0 di Anfield kelmarin.

Biarpun memiliki prospek yang cerah untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan, Rodger sebaliknya enggan terlalu optimis dengan kemungkinan itu.

"Kesungguhan para pemain dalam setiap perlawanan jelas mempesonakan.

"Bagaimanapun, kami perlu mengendalikan perlawanan demi perlawanan dengan bijak.

"Buat masa ini, saya gembira dengan corak positif yang ditampilkan pemain... sesuatu yang tidak saya miliki ketika mula-mula mengendalikan Liverpool," kata Rodgers.

Pada masa sama, Rodgers juga menuntut penyerang berbisa, Luiz Suarez tampil lebih tajam biarpun mencetak dua gol dalam perlawanan itu.

"Saya percaya Suarez dan Daniel Sturridge mampu menjaringkan lebih banyak gol jika berjaya membuat sentuhan penyudah yang klinikal," katanya. 

Dalam pada itu, beberapa nama besar dijangka menjadi buruan Rodgers apabila beliau tidak menolak kemungkinan memperkuatkan The Reds ketika jendela perpindahan pemain dibuka pada Januari depan.

Setakat ini, Liverpool menampilkan aksi terbaik dalam kempen domestik hasil kecemerlangan dua pemain baharu, Sturridge dan Philippe Coutinho.

Justeru, Rodgers menyedari perlu mendapatkan pemain baharu yang berkualiti jika mahu menyambar slot Liga Juara-Juara musim depan.

Rodgers juga tidak menolak kemungkinan pemburuan pemain berprofil tinggi tampak lebih mudah jika Liverpool berjaya melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

"Selepas mendapatkan pemain yang berkualiti seperti Sturridge dan Coutinho musim lalu, sudah tentu kami mahu mengulanginya Januari nanti," kata Rodgers. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan