Jumaat, 28 Disember 2012

Chicharito tagih simpati



HERNANDEZ mahu disenaraikan dalam kesebelasan utama United pada aksi menentang West Bromwich malam ini.

http://kakibola.forumado.net/t1249-chicharito-tagih-simpati


MANCHESTER - Penyerang Manchester United, Javier Hernandez meletakkan harapan untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama pada aksi Liga Perdana England menentang West Bromwich Albion malam ini.

Hernandez berharap gol kemenangan yang dijaringkan ketika menewaskan Newcastle United 4-3 mampu memikat hati pengurus skuad The Red Devils, Alex Ferguson.

Penyerang Mexico yang lebih selesa dipanggil Chicharito sudah meledakkan enam gol pada kempen musim ini meskipun hanya empat kali disenaraikan dalam kesebelasan utama termasuk ketika menjadi hero dalam aksi penuh dramatik di Old Trafford, Rabu lalu.

Peluang Chicharito, 24, untuk diturunkan malam ini semakin tinggi apabila penyerang utama, Wayne Rooney terpaksa berehat tiga minggu kerana mengalami kecederaan lutut dan Danny Welbeck masih belum cergas sepenuhnya.

Bagaimanapun, dia tetap optimis akan menjadi pilihan utama pengurus untuk bergandingan bersama Robin van Persie bagi mengetuai jentera serangan United.
"Anda boleh tanya kepada semua pemain di dunia ini, mereka pasti ingin diturunkan dalam setiap perlawanan tetapi apabila anda berada dalam sebuah kelab yang besar seperti ini, anda perlu bersaing.

"Anda perlu peka terhadap perkara itu kerana di sini (United) terdapat lima penyerang berkelas dunia dan anda perlu bersaing sesama sendiri bagi menyakinkan pengurus. Perkara utama yang saya sentiasa ingatkan dalam diri saya adalah saya sentiasa bersedia untuk beraksi seminit ataupun lebih 90 minit," katanya.

Dalam pada itu, pemain pertahanan veteran United, Rio Ferdinand berkata, Hernandez merupakan satu contoh terbaik buat semua pemain kerana dia tidak mudah berputus asa.

"Anda tidak perlu risau jika seseorang penyerang itu terlepas peluang selagi mereka sentiasa berada di situ, mereka pasti akan mendapat peluang.

"Dia (Hernandez) tidak pernah menunjukkan rasa kecewa apabila gagal, dia sentiasa mencari peluang dan ingin berada di hadapan serta memperbaiki setiap kesilapan yang dilakukannya. Anda pasti mendapat ganjaran jika bersabar," jelas Ferdinand. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan