Jumaat, 28 Disember 2012

Malaysia bermula langkah kanan



NAJMUDDIN (tengah) meraikan jaringannya ketika menentang Slavia Praha pada aksi pembukaan Kumpulan A FIC 2012 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya semalam.

http://kakibola.forumado.net/t1247-malaysia-bermula-langkah-kanan


SKUAD Bawah 15 (B-15) tahun Malaysia bermula garang apabila membelasah kelab Republik Czech, Slavia Praha 5-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan A Kejohanan Bola Sepak Piala Antarabangsa Frenz (FIC) 2012 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya semalam.

Muhammad Najmuddin Samat muncul sebagai wira skuad B-15 Malaysia apabila meledak dua gol, masing-masing pada minit ke-26 dan 40.

Muhammad Shahrul Akmal Md. Adnan, Kogileswaran Raj, Ahmad Firdaus Ismail turut mencetak nama selaku penjaring apabila masing-masing menyumbang satu gol.

Biarpun bermula dengan langkah kanan, jurulatih skuad B-15 Malaysia, S. Balachandran berkata, beliau tidak mahu anak-anak buahnya terlalu cepat berpuas hati.

Pada masa yang sama, Balachandran menjelaskan bahawa beliau masih dalam proses mengenal pasti pemain-pemain bagi menghadapi Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-15 pada Februari tahun depan.

“Saya berpuas hati dengan aksi hari ini (semalam) tetapi untuk perlawanan seterusnya nanti, saya akan menukar beberapa lagi pemain untuk memberi peluang kesemua pemain menunjukkan bakat mereka.

“Tujuan utama kami menyertai kejohanan ini adalah untuk memilih pemain-pemain terbaik untuk diserapkan dalam skuad utama Harimau Muda B,” kata Balachandran.

Sementara itu, jurulatih Slavia Praha, Vyhnal Pavel pula berkata, barisan pemainnya terlalu banyak melakukan kesilapan mudah yang menyumbang kepada kekalahan besar tersebut.

“Kami akan memperbaiki segala kelemahan yang saya sudah kenal pasti dan akan bangkit dalam perlawanan seterusnya.

“Bermain dalam cuaca panas di sini (Malaysia) tidak memberi sebarang masalah kepada pasukan saya tetapi keadaan itu sedikit mengganggu kerana pemain-pemain saya cepat penat.

“Apa-apa pun, tahniah kepada pasukan atas kemenangan dengan jurang yang besar. Ini satu permulaan yang baik,” kata Pavel.

Slavia Praha tampil dengan reputasi tinggi pada kejohanan ini selepas kejayaan mereka menjulang Piala Barcelona di Sepanyol baru-baru ini.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, Frenz United Malaysia juga memulakan kempen dengan langkah kanan apabila menewaskan kelab Korea Selatan, Incheon Selection 3-2.

Gol-gol Frenz United Malaysia dijaringkan oleh Ruzaini Rusli pada minit kelapan dan Mohammad Haziq Hossain (14 dan 26).

Myung Seong dan Choo Min Yeol masing-masing menjaringkan satu gol buat Incheon Selection.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan