Jumaat, 28 Disember 2012

City waspada ancaman Norwich


Joe Hart (kanan) meminta rakan sepasukan melupakan kekalahan 0-1 Manchester City kepada Sunderland Rabu lalu apabila berdepan Norwich City di padang lawan hari ini. - AFP 
 
NORWICH - Joe Hart memberitahu rakan sepasukannya agar melupakan tentang kekalahan perit Manchester City kepada Sunderland dan fokus untuk kembali ke landasan sebenar bagi mempertahankan kejuaraan menjelang pertemuan dengan Norwich, hari ini.

Penyandang juara Liga Perdana Inggeris itu ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu Manchester United selepas tumpas 0-1 kepada Sunderland, Rabu lalu dan akan berdepan Norwich di Carrow Road, pasukan yang digelar 'pembunuh pasukan gergasi.'

Norwich menewaskan Arsenal serta Manchester United musim ini dan mereka mungkin mampu menjadi pemusnah kepada impian City bagi mempertahankan kejuaraan.

Namun penjaga gol England, Hart menegaskan, masih ada harapan untuk memenangi kejuaraan seperti mana yang dilakukan pada musim lepas apabila mereka kembali mengukuhkan cengkaman liga, sekali gus menafikan peluang United merangkul kejuaraan pada perlawanan terakhir liga.

"Kami pernah berada pada kedudukan teratas dan selepas itu, giliran United pula, buat masa ini situasi akan kekal begitu.

"Kami merupakan pasukan juara, memang sukar dan perit tetapi kami perlu bergerak ke depan. Sukar sebenarnya untuk menjadi pasukan pendahulu dan begitu juga payah untuk kami mengejar.

"Kami pernah kembali mengejar mata dari belakang sebelum ini, kami telah membuktikan pada hujung musim lepas. Kami perlu yakin kepada diri sendiri.

"Musim ini sudah bergerak separuh jalan dan perjalanan masih lagi jauh untuk sampai ke penghujung. Kami perlu berdepan dengan perlawanan berikut dan memberikan yang terbaik seperti selalu.

"Anda akan berdepan dengan pelbagai halangan sepanjang musim tetapi anda perlu bijak menanganinya dan begitu juga dengan perlawanan yang bakal kami hadapi ini.

"Kempen masih panjang dan masih banyak perlawanan yang perlu dihadapi dan banyak juga mata yang perlu diraih," katanya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan