SEKURANG-KURANGNYA tiga pemain Harimau Muda dijangka terlepas peluang keemasan 'berguru' di Australia, Januari depan.
Ketiga-tiga pemain tersebut iaitu Fandi Othman, A. Thamil Arasu dan Syahrul Azwari Ibrahim masih dibelenggu kecederaan dan dijangka tidak menyertai skuad Harimau Muda yang dijadualkan berlepas ke bumi kanggaru itu pada 23 Januari nanti.
Begitupun, pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee memberitahu, ketiga- tiga pemain itu masih berpeluang menyertai rakan- rakan sepasukan yang lain jika pulih sepenuhnya dalam masa terdekat.
"Buat masa ini kecederaan yang dialami Fandi, Thamil dan Syahrul masih serius dan mungkin tidak akan menyertai Harimau Muda ke Australia.
"Tetapi jika mereka kembali cergas sebelum tempoh itu, tidak mustahil mereka akan menyertai kami," kata Kim Swee kepada Kosmo! semalam.
Menurut beliau, senarai akhir pemain yang bakal terbang ke Australia juga dijangka diketahui selewat-lewatnya 20 Januari depan.
Buat masa ini katanya, terdapat beberapa pemain lain yang turut berada dalam senarai kecederaan seperti Irfan Fazail, Rozaimi Abdul Rahman dan Ahmad Hazwan Bakri.
"Begitupun, kecederaan yang dialami Irfan, Rozaimi dan Ahmad Hazwan dilihat tidak begitu serius dan dijangka tidak berdepan masalah menyertai kami ke sana," kata Kim Swee.
Skuad Harimau Muda bakal berlepas ke Kuching esok bagi berdepan Sarawak dalam satu aksi persahabatan di Stadium Negeri, Jumaat ini.
Ia merupakan aksi persahabatan ketiga Harimau Muda sebagai persiapan awal mempertahankan emas temasya Sukan SEA di Myanmar tahun depan.
Sebelum ini, anak-anak buah Kim Swee sekadar melakar keputusan seri dengan Sarawak 1-1 di Port Dickson sebelum bangkit mengatasi Sime Darby dengan keputusan 2-1 di Wisma FAM, Ahad lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan