Oleh MUHAMMAD SYAFIQ ROOS ANNUAR
BUKAN mahu menyalahkan mana-mana pihak tetapi berdiri di atas
kesedaran untuk sama-sama memajukan industri tanah air, tidak sepatutnya
sesetengah nama dipandang sebelah mata.
Mungkin jika mahu mengukir nama besar seperti Hans Zimmer, industri
kita masih memerlukan masa tetapi sekurang-kurangnya penghargaan
haruslah turut diberikan kepada mereka yang terlibat sama dalam
menghasilkan skor muzik filem.
Tercalon di dalam kategori Muzik Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-55 yang diadakan di Macau baru-baru ini, Hits menyedari kelibat Khairil Ridzwan Anuar atau Loque daripada kumpulan Monoloque bagaikan terpinggir.
Berusaha untuk mendapatkan figura ini, sedikit sebanyak menyingkap dapat rasa terkilan yang terpalit dalam diri anak seni ini.
Berasa terpinggir dengan perkara tersebut, apa yang membuatkan
dirinya lebih terkilan adalah apabila dia sendiri tidak pernah diundang
ke mana-mana sidang akhbar berkaitan anugerah filem tersebut.
"Saya memang terkilan kerana pihak saya tidak diundang setiap kali sidang akhbar mengenai majlis tersebut diadakan.
"Bagi saya, perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Individu yang
membuat runut bunyi juga merupakan penyumbang yang membantu menghidupkan
mood sesebuah filem itu," jelasnya dalam nada yang cukup hampa.
Menurut Loque ketika ditanya mengapa dia tidak diundang untuk turut
serta di dalam festival filem tersebut, jawapan yang diterimanya mudah,
'sudah penuh.'
Namun bukan perkara itu yang menjadi punca sakit hati cuma dia
merasakan tidak salah sekiranya hasil karyanya juga turut diberi
penghargaan .
"Saya tak kisah tak diundang untuk pergi ke Macau cuma
sekurang-kurangnya hargailah apa yang telah saya lakukan bersama-sama
untuk membantu filem tersebut," jelasnya lagi.
Apa yang pasti, semestinya Loque tidak mahu perkara ini berulang lagi
dan dalam masa yang sama membuatkan lebih ramai lagi hati anak seni
akan terluka.
Penting
Tidak mengharapkan perhatian tetapi apa yang jelas, hasil kerja sesetengah karya anak tempatan tidak patut dipandang kecil.
Seperti yang terjadi kepada Loque misalnya, untuk menghasilkan skor
muzik bukanlah mudah dan sudah pasti bagi mendapatkan hasil yang
terbaik, dia sendiri telah mencuba sedaya upaya agar hasilnya mampu
membanggakan negara.
"Niat saya cuma satu iaitu untuk sama-sama membantu industri filem kita.
"Sebenarnya, jika perkara ini akan berlaku dan berulang lagi, saya
rasa tidak mustahil suatu hari nanti sudah tiada anak seni tempatan
berminat untuk menghasilkan skor muzik untuk filem.
"Bagi saya, ini merupakan peluang terbaik kepada kita untuk
menonjolkan diri setelah kali terakhir kita berjaya memenangi anugerah
muzik terbaik adalah pada tahun 1956, hasil karya P.Ramlee melalui filem
Hang Tuah," jelasnya penuh bersungguh yang mengambil masa dua bulan untuk menyiapkan skor muzik untuk filem Songlap.
Entah di mana silapnya, perkara sebegini seharusnya tidak berlaku.
Katakanlah jika anugerah muzik terbaik tersebut berjaya dimenangi oleh
filem Songlap tetapi individu yang sepatutnya berada di atas pentas, tidak dapat hadir. Apakah perasaan pencipta muzik itu sendiri?
Bagaimanapun, menurut Loque perkara tersebut tidak akan mematahkan
semangatnya untuk terus menyumbang tenaga dalam penghasilan skor muzik
untuk filem.
"Ia memang sesuatu yang menjadi keutamaan saya. Walau apa yang terjadi, saya tetap akan meneruskan minat saya ini.
"Apa yang saya harapkan ialah agar perkara sebegini tidak akan berulang dan menimpa insan seni yang lain," katanya lagi.
Cahaya mata Pun begitu biar hati terluka dan kesedihan melanda namun dalam masa
yang sama, Loque turut meraikan kegembiraan peribadi apabila bakal
bergelar bapa tidak lama lagi.
Suami kepada Dahlia Nadia Johari ini mengakui dia memang merasakan
debaran untuk bergelar seorang bapa selepas hampir tiga tahun berkahwin.
"Jujurnya saya sangat bersyukur dengan perkara ini malah dalam masa
yang sama menganggap ini rezeki yang tidak ternilai daripada Tuhan.
"Anak lelaki atau perempuan, tidak tahu lagi kerana mahukan kejutan," katanya yang ternyata gembira dengan perkara tersebut.
Selain itu, sebagai insan seni, Loque mengharapkan cahaya matanya
nanti dapat menyambung legasi seninya apabila sudah besar nanti.
"Sejak dari dalam kandungan sekarang ini pun saya sudah dedahkan dia dengan muzik. Saya bagi dia dengar lagu Monoloque.
"Harap apabila dia sudah dewasa nanti, dia akan turut meminati bidang
seni, tidak kisahlah jika muzik atapun tidak. Apa-apa pun, saya pasti
mendoakan yang terbaik untuk anak sulung saya ini," jelasnya dalam nada
gembira sebelum mengakhiri bicara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan