Sabtu, 22 Disember 2012

kakibolasepa.blogspot.com

Scholes bakal bersara kali kedua

MANCHESTER - Paul Scholes akan menggantung but buat kali kedua selepas tamat musim ini dan yang pastinya dia tidak akan kembali lagi.
Legenda Manchester United berusia 38 tahun itu memaklumkan kepada kenalan rapatnya bahawa musim ini pastinya yang terakhir.
Scholes sebelum ini bersara sebaik menamatkan kempen 2010-11 yang mana United menjulang kejuaraan untuk rekod kali ke-19.
Dia kemudiannya dilantik sebagai jurulatih pasukan simpanan, namun selepas seketika, dia mula merindui keseronokan berlatih dan beraksi secara kompetitif, malah merasakan dirinya masih boleh menyumbang untuk skuad kendalian Alex Ferguson.
Ferguson memanggil Scholes kembali untuk memperkuatkan jentera tengah pada Januari dan membuat penampilan sulungnya sebagai pemain gantian dalam kemenangan United ke atas Manchester City dalam aksi Piala FA pada 8 Januari.
Kepulangan Scholes jelas menyuntik nafas baru ke dalam pasukan Red Devils yang terumbang ambing pada pertengahan musim sebelum kembali menghambat dan memintas City pada satu ketika, namun malangnya United tewas mahkota kejuaraan dengan perbezaan jaringan.
Bekas tonggak England itu meneruskan kariernya musim ini tetapi jarang diturunkan. Dia hanya dimulakan dalam tujuh perlawanan setakat ini.
Rakan seangkatan, Ryan Giggs, 39, juga tidak lagi diberi peranan penting dan berkemungkinan mengikuti jejak Scholes untuk bersara.
Scholes disifatkan oleh segelintir pihak sebagai pemain terulung United pernah lahirkan. - AGENSI

Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan