Sabtu, 22 Disember 2012

Jangan pilih bulu!

Oleh Wan Fakhrul Bakar 
pix_gal0
Raja digesa ‘buka mata’ dengan prestasi pemain senior


Buka peluang kepada pemain senior!


Demikian pandangan bekas pemain kebangsaan, Fadzli Saari yang mahu peluang menyarung jersi skuad Harimau Malaya pada Kelayakan Piala Asia 2015 bermula Februari depan tidak hanya terhad kepada pemain muda yang berusia 26 tahun dan ke bawah.

Bagi penyerang baru skuad Liga Perdana, Sime Darby FC itu, masih terdapat pemain sekitar usia 30 tahun yang mampu beraksi untuk skuad kebangsaan jika dinilai prestasi semasa dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) berbanding pemain lebih muda sedia ada dalam skuad Datuk K Rajagobal ketika ini.

“Sepatutnya untuk skuad kebangsaan, faktor umur tidak menjadi kekangan. Tapi sekarang dah jadi fenomena, hanya pemain muda yang dipilih. Bagi saya, pemain yang lebih usia 26 tahun, malah yang umur 30, 31 dan 32 tahun pun masih boleh main sebenarnya.

“Tapi nak cakap lebih pun, tak boleh juga kerana sudah tentu ada panel penilaian dan jurulatih lebih tahu untuk membuat pemilihan. Jadi, sebagai pemain, kita kena terima sajalah.
“Cuma harap pemain senior turut diberi peluang. Ada yang lebih menyinar berbanding pemain muda dalam liga, contohnya Badhri Radzi dan Indra Putra Mahayuddin (Kelantan), Hairuddin Omar dan Irwan Fadzli Idrus (Tentera) serta pemain senior Negeri Sembilan,” kata Fadzli ketika ditemui di Bukit Kiara, semalam.

Bekas pemain Pahang, KL Plus, Selangor dan T-Team yang pernah beraksi dengan kelab Jerman, SV Wehen itu sendiri baru akan mencecah 30 tahun pada 1 Januari depan tetapi kali terakhir dia dipanggil menyarung jersi skuad kebangsaan lima tahun lalu.

“Tahap pemain kita lebih kurang sama saja sebenarnya. Patut pemilihan lebih kepada prestasi semasa, tak kiralah dia pemain muda atau senior. Sekurang-kurangnya beri peluang kepada pemain senior ini beraksi dalam dua atau tiga perlawanan, tengok dulu mereka boleh main atau tidak,” jelas Fadzli.

Berdasarkan barisan 22 pemain pada Piala Suzuki AFF 2012 baru-baru ini, hanya dua pemain melepasi usia 26 tahun tersenarai iaitu Safee Sali (28) dan Azammuddin Akil (27), selebihnya terdiri daripada pemain lebih muda serta yang dianggap ‘pemain Rajagobal’.

Justeru, ramai peminat dan pemerhati menggesa supaya pengendali berusia 56 tahun itu lebih telus dan terbuka untuk memilih pemain berdasarkan prestasi semasa dalam liga menjelang aksi sulung kelayakan bertemu Qatar, 6 Februari depan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan