PERSATUAN Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) yakin pasukan Johor Darul
Takzim pasti akan bermain pada waktu malam di Stadium Tan Sri Hassan
Yunos, Larkin sepanjang saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Keyakinan tersebut disuarakan sendiri presidennya, Tunku Mahkota
Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi mengulas isu lampu limpah di
stadium terbabit yang dikatakan tidak menepati piawaian Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM).
Tunku Ismail berkata, pihaknya akan menjalankan kerja-kerja menaik
taraf sistem pencahayaan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos dan yakin ia
akan siap sebelum 8 Januari depan.
"Isya-Allah kita akan selesaikan masalah ini sebelum 8 Januari. Saya
yakin, perlawanan di Stadium Larkin pasti akan diadakan pada waktu
malam," katanya kepada pemberita pada majlis memperkenalkan pasukan
serta jersi Johor Darul Takzim dan Johor di Plaza Angsana, Johor Bahru
semalam.
Kosmo! sebelum ini melaporkan hanya tujuh stadium yang menjadi venue
tuan rumah aksi Liga M, menepati piawaian memiliki sekurang-kurangnya
lampu limpah dengan tahap kecerahan 1,000 lux.
Perlawanan yang akan diadakan Stadium Tan Sri Hassan Yunos pula
terpaksa dilakukan pada waktu petang kerana ia tidak menepati piawaian.
Dalam pada itu, Tunku Ismail berkata, beliau sama sekali tidak
bimbang dengan kekalahan 2-1 Johor Darul Takzim kepada pasukan Johor
pada perlawanan akhir kejohanan Piala Tunku Mahkota Johor kelmarin.
Katanya, kekalahan itu merupakan adat dalam sesebuah pertandingan
tetapi apa yang lebih penting, pemain kedua-dua pasukan telah
menunjukkan komitmen dan disiplin yang tinggi.
"Kita tidak boleh menjangkakan untuk menang 6-0 pada setiap
perlawanan. Ini hanyalah aksi pemanas badan dan saya masih percaya kita
mempunyai peluang untuk meraih kejayaan," katanya.
Majlis pelancaran semalam dihadiri ribuan penyokong yang ingin
menyaksikan dengan lebih dekat pemain-pemain Johor Darul Takzim dan
Johor selain ingin melihat jersi baharu yang akan digunakan musim depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan