Jumaat, 28 Disember 2012

FAM juga perlu bertanggungjawab

http://kakibola.forumado.net/t1253-fam-juga-perlu-bertanggungjawab#1797

Alfadli Awaludin menunjukkan petisyen yang akan diserahkan kepada FAM pada sidang akhbar di Medan Selera Pusat Penjaja Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam. 
 
KUALA LUMPUR - Sejak kegagalan skuad Harimau Malaya mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF, suara-suara desakan agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dirombak, semakin lantang.
Kekecewaan yang dirasai penyokong pasukan kebangsaan kini sudah tidak dapat dibendung lagi.
Semalam, sekumpulan penyokong nekad meluahkan rasa tidak puas hati yang telah lama bersarang di dalam dada kepada media tempatan.

Bagi mewakili suara tidak puas hati terhadap FAM itu, seorang penyokong tegar skuad Harimau Malaya, Alfadli Awaludin tampil pada sidang akhbar di sini semalam dengan menyuarakan pandangan mereka terhadap kegagalan bola sepak Malaysia.

Alfadli berkata: "Kegagalan yang membelenggu skuad kebangsaan tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu jurulatih atau pun para pemain, tetapi sebaliknya FAM perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kegagalan tersebut.

"Kegagalan yang saya maksudkan ini bukan semata-mata melibatkan penyertaan kita pada Piala Suzuki AFF 2012, tetapi melibatkan keseluruhan perjalanan bola sepak negara sejak berpuluh tahun dulu."
Menurutnya, bola sepak Malaysia tidak menunjukkan sebarang kemajuan berbanding negara-negara lain di Asia yang dahulunya merupakan saingan terdekat negara ini.

Jelas Alfadli, perkembangan bola sepak negara tidak berkembang dengan betul dan kegagalan itu bermula daripada liga tempatan yang langsung tidak mempunyai daya saing.

"Selama 28 tahun, daripada liga amatur kita beralih ke liga semi-pro pada 1989, kemudian ke liga profesional pada 1993, namun hasilnya liga kita kini hanya berada dalam gred D. Liga J yang datang berguru dengan kita telah menjadi liga gred A hari ini.

"Kesannya pasukan dari Liga Malaysia (Liga M) tidak layak untuk beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) mahupun untuk perlawanan playoff," ujarnya.

Tambahnya, badan induk bola sepak negara pernah menyatakan melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad bahawa ranking tidak penting.

"Jadi kalau ranking tidak penting, ke mana sebenarnya hala tuju kita, apa objektif kita?
"Negara-negara yang lebih kecil dari kita pun menitik beratkan soal ranking, ini kerana ranking akan menentukan hala tuju bola sepak kita.

"Saya juga difahamkan kalendar FIFA dikeluarkan empat tahun sekali, jadi kelebihan ini membolehkan FAM menyusun jadual liga tempatan dan perlawanan persahabatan antarabangsa dengan lebih terancang.

"Tetapi timbul persoalan, mengapa FAM gagal mendapatkan perlawanan kelas A untuk Harimau Malaya sedangkan jadual telah keluar empat tahun lebih awal, apakah hala tuju pasukan kebangsaan kita, adakah masih berpaksi kepada Sukan SEA dan Piala AFF sahaja?," tegasnya.

Alfadli turut mempertikaikan apakah rasionalnya FAM apabila memiliki bilangan pegawai berdaftar di negara ini yang lebih ramai iaitu 11,810 orang berbanding 9,930 orang pemain berdaftar seperti yang direkodkan oleh FIFA.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan