Jumaat, 8 Februari 2013

Aksi Nwakaeme pikat penyokong Kelantan


NWAKAEME (kanan) tampil dengan aksi yang bertenaga ketika membantu Kelantan menewaskan Felda United 2-0 di Kota Bharu kelmarin.


PEMAIN import jemputan Kelantan dari Nigeria, Dickson Nwakaeme, 27, mula meniti di bibir penyokong fanatik skuad tersebut.

Ia ekoran aksi bertenaga yang dipamerkan oleh pemain berkenaan serta kerap kali menguji kekuatan benteng pertahanan lawan ketika turun beraksi pada perlawanan persahabatan menentang Felda United di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu kelmarin.

Gaya permainannya terus menenggelamkan rentak seorang lagi tonggak import Kelantan, Keita Mandjou yang sedang bergelut untuk mengembalikan prestasinya.

Tanpa berselindung, pengendali Kelantan, Bojan Hodak mengakui Dickson mempunyai kelebihan tersendiri selepas membantu The Red Warriors mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Felda United pada aksi persahabatan itu.

Menurutnya, pemain tersebut mempunyai kelebihan dari segi kawalan bola serta bijak membuka ruang kepada rakan pasukan untuk menjaringkan gol.

"Dia (Dickson) seorang pemain yang hebat serta memiliki gaya kawalan bola yang baik selain mampu melakukan percubaan daripada sudut yang sukar.

"Bagaimanapun, setakat ini, mungkin tidak akan berlaku sebarang perubahan dalam pasukan dan saya serahkan semuanya kepada pihak pengurusan," katanya.

Pada perlawanan tersebut, Kelantan yang beraksi di hadapan 7,000 peminat setia mereka terpaksa menunggu sehingga minit ke-33 untuk memperoleh jaringan menerusi rembatan seorang lagi pemain import jemputan, Salim Arrache.

Pada minit ke-72, Indra Putra Mahayuddin menggandakan jaringan Kelantan selepas rembatan kencangnya gagal diselamatkan oleh penjaga gol Felda United, Mohd. Helmi Eliza Elias.

Kemenangan tersebut menyaksikan Kelantan memperoleh tonik berguna menjelang perlawanan Liga Super menentang Selangor pada 15 Februari ini di Stadium Shah Alam.

Dalam pada itu, Hodak berkata, dua aksi persahabatan yang diharungi oleh pasukannya setakat ini memberikan impak positif buatnya dalam menilai kekuatan dan kelemahan pasukan.

"Ia cukup penting buat kita untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada sebelum saingan Liga Super kembali bersambung.

"Banyak perubahan yang saya dapat lihat terutama persembahan daripada Mohd. Izuan Solahuddin, begitu juga dengan aksi Mohd. Faiz Subri. Kedua-dua pemain ini semakin menunjukkan peningkatan," ujarnya.
Bagi pengendali Felda United, K. Devan, beliau mengakui pasukannya masih mencari pemain terbaik untuk digandingkan dengan penyerang dari Lebanon, Mohd. Ghaddar.

Selain itu, Devan turut merancang untuk mengadakan satu lagi perlawanan persahabatan berdepan sama ada Pahang atau naib juara Piala FA musim lalu, Sime Darby FC.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan