Jumaat, 1 Februari 2013

Rooney julang United



ROONEY (depan) meledakkan dua gol untuk membantu United menewaskan Southampton 2-1 awal pagi semalam.


LONDON - Manchester United menewaskan Southampton 2-1 untuk mengukuhkan kedudukan di persada Liga Perdana England awal pagi semalam.

Skuad bimbingan Alex Ferguson itu memiliki kelebihan tujuh mata selepas mengumpul 59 mata daripada 24 perlawanan berbanding pencabar terdekat, Manchester City (52 mata) dan Chelsea (46 mata).

Pada aksi di Old Trafford itu, pasukan pelawat terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Jay Rodriguez seawal minit ketiga tetapi penyerang sensasi England, Wayne Rooney mengesahkan kemenangan United apabila meledakkan kedua-dua gol pada minit kelapan dan 27.

"Berdasarkan pengalaman saya di kelab ini (United), ada beberapa perlawanan yang memihak kepada kami terutamanya apabila kami bersaing untuk memenangi sesuatu kejuaraan," kata Ferguson.
"Ini antara perlawanan tersebut."

Rooney kembali menemui sentuhan selepas dibayangi kehebatan Robin van Persie sepanjang musim ini dan kini, dia telah meledakkan sembilan gol sepanjang sembilan perlawanan.

Sementara itu, pengurus Southampton, Mauricio Pochettino berasa bangga selepas Ferguson menganggap persembahan mereka adalah antara yang terbaik di Old Trafford musim ini.

"Sangat penting untuk para pemain saya mendengar (pujian) itu tetapi kami pulang tanpa mengutip sebarang mata. Kami bermain dengan baik tetapi kami kecewa apabila gagal untuk mengikat United dengan keputusan seri. Ia tidak menggembirakan saya," katanya.

Dalam pada itu, Ferguson mencabar tiga penyerang utama pasukan itu untuk menjaringkan 20 gol musim ini, sekali gus merealisasikan impian kelab tersebut untuk memenangi gelaran trebel.
Selain gelaran Liga Perdana England, United masih berpeluang untuk menjulang trofi Piala FA dan Liga Juara-Juara.

Skuad The Reds akan bertemu Reading pada aksi pusingan kelima Piala FA dan menentang Real Madrid dalam kelompok 16 pasukan terbaik bulan depan.
Setakat ini, Rooney sudah meledakkan keseluruhan 12 gol manakala van Persie dan Javier Hernandez masing-masing menyumbat 22 dan 14 gol.

Ferguson yakin sekiranya Rooney dan Hernandez mampu mengikut jejak langkah van Persie untuk menjaringkan lebih daripada 20 gol, ia akan menjadi kunci utama kejayaan United musim ini. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan