MANCHESTER, United Kingdom - Alex Ferguson mengakui gelaran Liga
Perdana kini dalam cengkaman Manchester United selepas semakin selesa
menduduki puncak dengan kelebihan 12 mata di depan Manchester City
berikutan kemenangan 2-0 ke atas Everton, semalam
Selepas mendapat tahu City tewas kepada Southampton, Sabtu lalu,
Ferguson menukar pelan asal dengan merehatkan pemain-pemain utama bagi
saingan Liga Juara-Juara menentang Real Madrid di Santiago Bernabeu,
Khamis ini.
Tindakan itu membuahkan hasil apabila United mencatat kemenangan di
Old Trafford selepas yakin United akan merampas semula gelaran itu
dengan baki perlawanan tinggal 12.
''Saya pada awalnya mahu melakukan rombakan melibatkan tujuh pemain,
tetapi selepas mendapat tahu City kalah, saya berpendapat perlawanan ini
amat penting buat kami.
''Kemenangan ini meletakkan United selesa di puncak dan kita perlu mencatat kemenangan demi kemenangan selepas ini,'' katanya.
Ferguson turut memuji pemain tengah veteran, Ryan Giggs, 39, yang
meneruskan persembahan cemerlang menjaringkan gol pertama sebelum Robin
van Persie melengkapkan gol kedua.
Giggs menyuntik semangat pemain-pemain United dengan jaringan
pembukaan seawal minit ke-13, gol pertama daripadanya pada musim ini.
''Dia (Giggs) seorang manusia luar biasa. Dalam usianya 39 tahun dia
berjaya mempamerkan permainan yang bagus dan tenaganya hebat sekali,''
kata Ferguson.
Paling menarik, perlawanan semalam turut disaksikan pengurus Real
Madrid, Jose Mourinho yang pasukannya akan menanti kunjungan United
dalam saingan 16 akhir Liga Juara-Juara.
''Saya sempat berbual dengannya (Mourinho) dan pasukannya mencatat
kemenangan bagus 4-1 kelmarin. Perlawanan Liga Juara-Juara Khamis ini
menjanjikan saingan menarik,'' ujarnya. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan