|
SEPANJANG dua tahun bergelar anak seni, Noor Neelofa Mohd. Noor boleh
dikatakan antara artis yang cukup bertuah apabila kerjaya seninya
berkembang dalam tempoh yang agak singkat.
Kini, pada usianya yang baru sahaja mencecah 24 tahun, Neelofa
pastinya boleh berbangga dengan pencapaian yang dimilikinya, terutama
dari segi karier serta populariti yang diraihnya sekarang.
Selain bergelar pelakon yang semakin dikenali ramai menerusi beberapa
buah filem dan drama lakonannya, kariernya dalam bidang seni turut
berkembang dengan bergelar pengacara rancangan Nona dan Meletop, dua
buah program yang sememangnya mendapat sambutan baik daripada penonton.
Pintu rezekinya semakin terbuka luas apabila menjadi pilihan pelbagai
jenama produk popular yang telah memilihnya menjadi duta atau
jurucakap.
Ketika ditanya sama ada dia puas dengan kejayaan yang diraihnya itu,
Neelofa dengan rendah diri menyatakan bahawa dia sebenarnya masih belum
berhasil menjadi seorang anak seni yang berjaya.
"Saya tidak menganggap diri saya sudah berjaya sekarang ini kerana
perjalanan seni saya masih lagi panjang. Cuma saya memang menyasarkan
untuk mencapai kejayaan dalam usia yang muda.
"Jadi, saya perlu berusaha dengan lebih keras lagi dan tidak boleh cepat berpuas hati dengan apa yang saya nikmati sekarang ini.
"Namun begitu, saya gembira kerana mendapat sokongan daripada orang
yang berada di sekeliling serta peminat," ujarnya ketika ditemui pada
majlis sambutan ulang tahun ke-24 dirinya yang berlangsung di Sunway
Giza, Kota Damansara pada minggu lalu.
Menurut Neelofa, selain mahu terus mengembangkan bakatnya dalam dunia
seni sebagai pelakon dan pengacara, dia juga menyatakan mahu menjadi
seorang ahli perniagaan wanita yang berjaya.
Ujarnya, buat masa ini dia sedang memberi fokus kepada perniagaan
produk kesihatan BellaVita yang mula diusahakannya pada tahun lalu dan
kini semakin berkembang baik.
Bagi memastikan perniagaannya itu membuahkan hasil yang lumayan dan
memberangsangkan, Neelofa memberitahu dia terpaksa membuat pelaburan
yang banyak.
"Saya telah melaburkan puluhan ribu ringgit semata-mata membeli
sedikit slot dalam rancangan Wanita Hari Ini pada setiap hari Rabu untuk
mempromosikan produk BellaVita ini.
"Boleh dikatakan sudah banyak wang yang dibelanjakan sehingga membuat
pinjaman bank bagi memastikan produk yang saya usahakan ini berjaya di
pasaran sekurang-kurangnya dalam tempoh dua atau tiga tahun yang akan
datang," ujarnya.
Menurutnya, selain produk kesihatan BellaVita dia juga sudah
merancang untuk menghasilkan lagi beberapa produk lain bagi meluaskan
lagi perniagaan yang diusahakannya sekarang ini.
Perkahwinan
Pada usianya yang sudah mencecah 24 tahun, sudah tentu ramai yang
beranggapan ia merupakan usia yang cukup sesuai buat seorang wanita
untuk melangkah ke alam rumah tangga.
Bagaimanapun, Neelofa yang pernah digosipkan dengan penerbit dan
pelakon Hans Isaac sebelum ini menganggap dirinya masih lagi muda untuk
menuju ke gerbang perkahwinan.
"Buat masa ini saya tidak terfikir untuk berumah tangga kerana
sasaran saya sekarang ini mahu mengecap kejayaan dalam bidang yang saya
ceburi terlebih dahulu. Lagipun, kini saya sedang berusaha gigih agar
segala usaha yang dilakukan berjaya.
"Apabila tiba masanya saya berkahwin nanti, kalau boleh saya mahu
menjadi seorang isteri yang tidak terlalu berharap kepada suami dan
menggunakan duit sendiri untuk membeli apa sahaja yang diingini,"
tegasnya.
Menurutnya, memandangkan jadualnya yang cukup padat sebagai seorang
pelakon, pengacara dan ahli perniagaan, dia akan memikirkan tentang
perkahwinan kira-kira tiga atau empat tahun akan datang.
Konflik
Sebelum ini sudah ramai yang mengetahui mengenai sedikit konflik yang
berlaku Neelofa dengan seorang lagi pelakon iaitu Tasha Shilla
gara-gara komen yang dibuatnya terhadap pelakon tersebut mengenai
kemenangan dalam Anugerah Bintang Popular pada tahun lalu.
Namun begitu, Neelofa mendedahkan dia dan Tasha pernah terserempak
baru-baru ini dan mereka telah bertegur sapa dengan mesra, seolah-olah
seperti tiada masalah yang pernah berlaku sebelum ini.
"Selepas konflik yang berlaku itu agak lama juga kami tidak berjumpa,
namun ketika terserempak kami sempat berbual bersama-sama dalam tempoh
yang agak lama.
"Apa yang ingin saya katakan, secara jujurnya saya begitu hormati
dengan sikap yang ditunjukkan oleh Tasha dan merasakan dia sebagai
seorang pelakon yang sangat profesional," ujarnya yang menganggap
hubungan mereka berdua kini kembali jernih.
Menurut Neelofa, dia juga berkesempatan meminta maaf kepada pelakon
berkenaan atas apa yang telah berlaku dan gembira Tasha menerimanya
dengan hati terbuka serta sudah melupakan semua yang telah berlaku
antara mereka berdua.
"Seboleh-bolehnya saya tidak mahu timbul lagi sebarang masalah dengan
rakan-rakan pelakon lain. Mulai tahun ini saya berharap supaya
perjalanan karier seni saya dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang
kisah kontroversi lagi," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan