ENGLAND - Patrice Evra percaya Manchester United mampu mengembalikan
faktor 'kegerunan' kelab itu di Eropah seandainya meraih kemenangan ke
atas Real Madrid pada saingan Liga Juara-Juara musim ini.
Evra, 31, berkata, reputasi kuasa besar Eropah yang ada pada kelab
itu semakin terjejas selepas kecundang dalam beberapa kejohanan besar
musim lalu.
Malah, Evra yakin hanya kemenangan ke atas juara Liga Sepanyol itu
mampu mengembalikan reputasi United sebagai kelab yang digeruni di
Eropah.
"Jika kami mampu menewaskan Madrid sudah tentu tumpuan lebih terarah kepada pasukan yang meraih kemenangan.
"Jangan lupa pada musim lalu kita tersingkir dalam saingan Liga
Juara-Juara di peringkat awal dan disebabkan itu ramai orang mempunyai
gambaran tersendiri terhadap Manchester United di Eropah.
"Kami perlu mengubahnya dan kerana itu saya fikir tahun ini amat
sesuai untuk membuktikan siapa kami sebenarnya. Kami tidak boleh
melepaskan peluang ini.
"Saya juga memandang kehadapan terhadap perlawanan menentang Real
Madrid ini kerana saya sudah lama menantikan perlawanan sebegini
menentang pasukan besar di Eropah.
"Peminat juga pasti menantikan perlawanan ini," kata Evra.
Ketika ini United berhadapan tugas sukar untuk mengekalkan kelebihan
sembilan mata sebagai pendahulu Liga Perdana Inggeris dan dalam masa
sama perlu menghidupkan harapan kejuaraan pada Piala FA dan Liga
Juara-Juara.
Dalam pada itu, Evra juga percaya skuad Red Devils
hanya perlu mengekalkan prestasi mereka dalam kesemua tiga perlawanan
tersebut bagi membolehkan mereka menjadi salah satu pasukan terbaik di
dunia.
"Perlawanan itu semua penting buat kami.
"Ini adalah masa yang sesuai untuk memenangi perlawanan bagi
menunjukkan bahawa Manchester United adalah pasukan nombor satu. Semua
itu bukan mudah tetapi ini adalah masa yang sesuai untuk melakukannya,"
jelas Evra. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan