Jumaat, 1 Februari 2013

Ujian buat Rajagobal


RAJAGOBAL (kanan) akan meletak jawatan selaku jurulatih Harimau Malaya sekiranya skuad kendaliannya gagal menempah tempat ke pusingan akhir Piala Asia 2015.


TAHUN lalu, misi Harimau Malaya mempertahankan trofi Piala Suzuki AFF yang dimenangi mereka pada 2010, akhirnya terkubur apabila terkandas di peringkat separuh akhir.

Disebabkan itu, nama Datuk K. Rajagobal tiba-tiba ‘panas’ apabila bertubi-tubi didesak supaya meletak jawatan oleh sebahagian besar peminat sukan bola sepak yang tidak lagi mempercayai kredibiliti beliau selaku pengendali skuad kebangsaan.

Enggan tunduk kepada tekanan, Rajagobal sebaliknya mahu membantu merealisasikan sasaran skuad negara supaya layak ke pentas Piala Asia 2015 terlebih dahulu.
“Jika gagal membantu pasukan negara layak ke Piala Asia 2015, saya sendiri akan meletak jawatan,” kata Rajagobal ketika itu.

Begitupun, nasib seolah-olah tidak menyebelahi Rajagobal rentetan musibah kecederaan pemain negara menjelang aksi pembuka tirai kempen kelayakan Piala Asia 2015 berdepan Qatar di Doha, 6 Februari ini.
Tempang tanpa nama-nama besar seperti Mohd. Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Bunyamin Omar, situasi itu jelas meletakkan masa depan Rajagobal dalam keadaan bahaya.

Sedar atau tidak, kemampuan anak-anak buah Rajagobal mengekang ancaman Iraq dalam satu aksi persahabatan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) malam ini pastinya menjadi peluang terakhir bagi menilai kemampuan sebenar beliau sama ada mampu atau tidak membantu skuad negara menyambar slot ke pusingan akhir Piala Asia 2015.

Jika diikutkan, Rajagobal dilihat hanya menunggu masa mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada skuad kebangsaan ekoran strategi mahupun taktikal yang direncanakannya dilihat serba tidak menjadi pada kempen Piala Suzuki AFF yang lalu.

Keputusan Rajagobal yang enggan menyenaraikan arkitek Kelantan, Mohd. Bahri Radzi atau Piya biarpun dilanda krisis kecederaan pemain kali ini juga mengundang pertikaian ramai pihak.
Bukan apa, peluang yang diberikan kepada Rajagobal sebenarnya bukan sedikit tetapi hasilnya tetap mengecewakan.

Justeru, persoalan sama ada Rajagobal bakal mengotakan janjinya atau tidak, sama-sama kita tunggu dan lihat.

Selepas bertemu Qatar nanti, Harimau Malaya bakal berdepan dua lagi pasukan Asia Timur iaitu Yemen dan Bahrain pada 22 Mac dan 15 Oktober depan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan