Selasa, 26 Februari 2013

'Kami akan terus kejar United'



TEVEZ (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya, James Milner pada aksi Liga Perdana England di Stadium Etihad kelmarin. City menewaskan Chelsea 2-0.


LONDON - Pengurus Manchester City, Roberto Mancini menegaskan, beliau masih belum menyerah kalah dalam persaingan memburu trofi Liga Perdana England musim ini selepas kejayaan membenam Chelsea 2-0 di Stadium Etihad kelmarin.

Jaringan daripada Yaya Toure dan Carlos Tevez sudah cukup menghadiahkan tiga mata berharga buat City.
City kini terus mengejar pendahulu, Manchester United yang memiliki kelebihan 12 mata dan mereka masih enggan berputus asa ketika saingan liga berbaki 11 perlawanan.

"Saya rasa amat penting bagi kami sekarang untuk tidak terlalu memikirkan tentang kedudukan liga," kata Mancini.

"Kami hanya perlu meneruskan usaha seperti hari ini (kelmarin) dan bermain dengan baik.
"Dalam bola sepak, ia hanya akan berakhir apabila ia benar-benar telah berakhir iaitu ketika wisel penamat aksi terakhir ditiupkan.

"Jika menjelang baki empat perlawanan terakhir United masih lagi mendahulu 12 mata, maka ia mungkin telah berakhir tetapi saya rasa tugas kami adalah untuk terus mengejar mereka."

Pada perlawanan kelmarin, Chelsea berpeluang mendahului apabila penjaga gol City, Joe Hart menjatuhkan Demba Ba pada minit ke-51.

Hart bagaimanapun berjaya menebus kesilapannya itu dengan menyelamatkan sepakan penalti Frank Lampard, sekali gus menghalang perancang The Blues itu menjaringkan gol ke-200 dalam kariernya.
"Setiap kali dia (Hart) melakukan kesilapan, saya akan terus menasihatinya. Saya rasa penalti itu berpunca daripada kesilapannya dan juga Kolo (Toure).

"Namun, selepas itu dia beraksi dengan baik dan menyelamatkan penalti tersebut. Ia amat penting.
"Permainan mungkin akan berubah jika Chelsea mendapat gol tetapi kami bermain dengan bagus dan turut berpeluang menambah beberapa lagi jaringan," kata Mancini. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan