GEORGE TOWN – Persembahan bertenaga bintang ternama Korea Selatan,
Psy menggegarkan sambutan majlis Rumah Terbuka 1Malaysia Tahun Baru Cina
anjuran Barisan Nasional (BN) negeri yang turut dihadiri Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarganya di padang Kolej Han
Chiang di sini semalam.
Kira-kira 80,000 pengunjung memenuhi kawasan kolej tersebut termasuk di hadapan pentas utama sejak pukul 7 pagi lagi.
Pengunjung termasuk kanak-kanak kecil melaung-laungkan nama Psy
sebaik beliau muncul di pentas kira-kira pukul 12.15 tengah hari.
Psy yang mengenakan kot tanpa lengan dengan seluar serba putih
memberitahu, dia teruja tiba di Malaysia dan mengucapkan selamat Tahun
Baru Cina. Penyanyi itu berterima kasih kepada BN Pulau Pinang kerana
menjemputnya membuat persembahan.
Sebaik muzik dimainkan, orang ramai menjerit-jerit nama Psy sebelum
dia muncul diiringi 12 penari mempersembahkan lagu popularnya, Oppa
Gangnam Style.
Psy atau nama sebenarnya Park Jae Sang mencipta nama apabila klip
video Oppa Gangnam Style ditonton sebanyak 1.3 bilion kali dalam
YouTube.
Sambil beraksi dengan muka bersahaja, Psy turut mengajak ribuan pengunjung menari tarian kuda bersamanya.
Selepas menamatkan persembahan, dia turun dari pentas tetapi sorakan
para peminat memanggil-manggil namanya mendorong Psy kembali semula
untuk nyanyian kali kedua lagu Oppa Gangnam Style.
Cuaca panas juga menyebabkan bintang berusia 35 tahun itu terpaksa
menanggalkan cermin mata hitamnya untuk mengesat peluh beberapa kali
ketika menyanyi.
Dia sempat berceloteh dengan berkata: “Saya faham cuaca panas di sini menyebabkan anda (penonton) juga nampak letih.”
Psy bersama rombongannya tiba dengan jet peribadi di Lapangan
Terbang Antarabangsa Pulau Pinang kira-kira pukul 6 pagi semalam selepas
mengadakan persembahan di Rio de Janeiro, Brazil.
Difahamkan, beliau menginap di sebuah hotel mewah di bandar raya ini
selama dua hari dan dibawa melawat ke beberapa lokasi menarik sebelum
pulang ke Korea Selatan.
Ini merupakan persembahan pertama Psy di Asia Tenggara yang
didatangkan khas oleh sebuah syarikat pengurusan acara dari Kuala
Lumpur, Mega Ultimate Sdn. Bhd. bagi memeriahkan sambutan Tahun Baru
Cina.
Turut mengadakan persembahan ialah juara Asian Wave 2012 di
Shanghai, China, Shila Amzah yang menghiburkan pengunjung dengan lagu
Patah Seribu, Set Fire to the Rain dan dua lagu Mandarin, Zheng Fu dan
Forever Love.
Kemunculannya turut mendapat tepukan gemuruh pengunjung yang menyanyi bersama-samanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan