Isnin, 11 Februari 2013

Burkina Faso masih boleh berbangga



PUT (kanan) dan beberapa pemain simpanan Burkina Faso gagal membendung kekecewaan sebaik Nigeria menjaringkan gol.


SOWETO, Afrika Selatan - Pengendali Burkina Faso, Paul Put tidak mempunyai sebab untuk berasa kecewa biarpun skuad kendaliannya sekadar muncul naib juara kempen Piala Negara-Negara Afrika 2013.

Kejutan yang dilakar The Stallions yang pada mulanya dianggap pasukan kerdil pada kempen kali ini akhirnya ternoktah sebaik tumpas 0-1 kepada Nigeria dalam aksi final di Stadium FNB awal pagi semalam.
Meskipun tewas, Put tetap berbangga dengan pencapaian anak buahnya yang disifatkan satu kejayaan terbesar yang pernah diraih mereka setakat ini.

"Kamu perlu berbangga apabila tewas, tetapi pada masa sama merendah diri jika menang.
"Tiada siapa yang mahu tewas dalam perlawanan akhir, namun perjalanan kami masih panjang," kata Put.
The Stallions yang hadir di bumi Afrika Selatan tanpa sebarang kemenangan dalam 17 perlawanan terakhir mereka sebelum ini mula membuka mata ramai pihak selepas mengejutkan Habsyah dengan kemenangan bergaya 4-0 pada aksi Kumpulan C.

Sejak itu, mereka tidak lagi menoleh ke belakang apabila menewaskan beberapa pasukan pilihan seperti Togo dan Ghana pada peringkat suku akhir dan separuh akhir bagi menyambar slot final.

"Aksi Nigeria dilihat bertambah mantap berbanding ketika bertemu di peringkat kumpulan sebelum ini.
"Namun, pemain saya juga tidak kurang hebat memberikan saingan.

"Keletihan terpaksa beraksi pada masa tambahan sebanyak dua kali (suku akhir dan separuh akhir) juga benar-benar meletihkan pemain.

"Tetapi saya enggan menjadikannya sebagai alasan, tambahan pula pemain saya dilihat berjuang habis-habisan," kata Put.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan juga bertemu dalam aksi peringkat kumpulan sebelum ini yang berkesudahan seri 1-1. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan