MANCHESTER - Pengurus Manchester City, Roberto Mancini tetap yakin skuad The Citizens, mampu mempertahankan gelaran juara Liga Perdana England musim ini.
Keyakinan itu disuarakan Mancini biarpun sedar anak-anak buahnya yang
kini menghuni tangga kedua dengan 53 mata, ketinggalan sembilan mata di
belakang pendahulu, Manchester United.
City terlepas peluang terbaik bagi merapatkan jurang mata dengan
United apabila sekadar seri 2-2 menentang Liverpool di Stadium Etihad
awal pagi semalam.
Pada aksi tersebut, City di depan selepas Edin Dzeko membuka tirai
jaringan pada minit ke-23 sebelum Daniel Sturridge menyamakan kedudukan
buat Liverpool enam minit kemudian.
Kapten Liverpool, Steven Gerrard meletakkan The Reds di depan pada minit ke-73 sebelum Sergio Aguero muncul penyelamat City dengan gol penyamaan lima minit kemudian.
Mancini percaya memori kejuaraan yang dilakar anak-anak buahnya musim
lalu mampu membangkitkan semula semangat mereka untuk mempertahankan
gelaran juara musim ini.
Musim lalu, City yang ketinggalan lapan mata dalam baki enam
perlawanan terakhir kembali bangkit untuk bergelar juara buat kali
pertama selepas 44 tahun.
"Persaingan bagi bergelar juara liga musim ini masih belum berakhir
kerana situasi ketika ini sama seperti yang berlaku musim lalu dan dua
tahun lalu.
"Dua tahun lalu, Chelsea ketinggalan sembilan mata dan hanya
dipisahkan dua mata ketika menentang United pada minggu terakhir saingan
liga.
"Saya tidak fikir ia sudah berakhir. Masih ada ruang untuk mana-mana pasukan melakukan kesilapan.
"Saya fikir kami perlu menang dalam semua baki perlawanan tetapi ia
jarang berlaku," kata Mancini sejurus tamat perlawanan awal pagi
semalam.
Bagaimanapun, Mancini meluahkan kekecewaannya ekoran prestasi hambar
yang dipamerkan barisan pemain City ketika berdepan Liverpool.
"Saya kecewa kerana kami tidak beraksi dengan baik. Liverpool beraksi lebih baik pada babak pertama.
"Bulan lalu kami beraksi dengan baik dalam setiap perlawanan. Namun,
hari ini (awal pagi semalam) kami beraksi dalam keadaan gementar dan
saya tidak tahu apa puncanya," kata Mancini. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan