MILAN - Penyerang kontroversi, Mario Balotelli berasa lega kerana dia
tidak perlu lagi mengelak daripada bertemu media England selepas
berhijrah ke AC Milan kelmarin.
"Memang impian saya untuk menjadi pemain Milan. Jadi, saya sangat
gembira (dengan penghijrahan ini)," katanya pada sidang media majlis
menandatangani kontrak bersama kelab Itali itu.
"Begitupun, saya lebih suka untuk tidak bercakap mengenainya," tambahnya lagi.
Pemain berusia 22 tahun itu menjelaskan bahawa dia berasa sangat
gembira kerana berdekatan dengan keluarga dan rakan-rakannya selepas
meninggalkan Manchester City.
Terdahulu, pemain antarabangsa Itali itu sering dihimpit dengan
pelbagai kontroversi selepas beberapa siri pergaduhannya dengan
pengurus, Roberto Mancini dan beberapa insiden luar biasa.
"Saya kini sudah berada di Milan. Saya rasa sangat penting kerana dekat dengan keluarga dan rakan-rakan.
"Sebenarnya Manchester tidaklah terlalu jauh tetapi Milan lebih
dekat," kata Balotelli yang dilaporkan telah menyebabkan kelab Itali itu
mengeluarkan perbelanjaan sebanyak AS$27.39 juta (RM85.10 juta) untuk
mendapatkannya.
Balotelli berkata, dia akan melihat penghijrahan tersebut dari sudut positif dan negatif.
"Perkara yang bagus apabila saya tiba di Carrington untuk berlatih.
Jadi, rakan-rakan sepasukan, pengurus, mereka ini yang bagus, yang buruk
pula... perkara-perkara yang lain," ujarnya.
Balotelli menganggap sidang media pertama, cuaca, makanan dan cara
pemanduan kereta sebagai perkara yang negatif ketika berada di
Manchester.
Begitupun, dia mengakui tetap merindukan saingan Liga Perdana England.
"Liga yang sangat hebat dan saya rasa ia yang terbaik kerana dapat bersama-sama dengan penonton yang ramai.
"Saya juga tidak tahu sama ada saya akan kembali atau tidak pada masa hadapan," tambahnya. - Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan