LONDON - Juventus bakal berdepan tugas sukar apabila turun menentang
kelab Scotland, Celtic pada aksi pertama pusingan kalah mati kempen Liga
Juara-Juara di Celtic Park awal pagi esok.
Sebagai rekod, aksi pusingan kalah mati itu merupakan perlawanan kelima buat Celtic dan yang pertama sejak 2001.
Celtic yang merupakan satu-satunya kelab Scotland beraksi dalam
saingan Liga Juara-Juara musim ini melakar kejutan apabila menewaskan
kelab gergasi Sepanyol, Barcelona pada aksi peringkat kumpulan November
tahun lalu di Glasgow.
Antara faktor kemenangan itu adalah sokongan padu yang diberikan oleh para penyokong fanatik Celtic.
Justeru, Juventus bukan sahaja perlu menundukkan Celtic tetapi perlu
menyerap tekanan yang bakal dihadapi apabila berdepan kira-kira 60,000
penyokong kelab Scotland itu awal pagi esok.
Disebabkan itu, bekas pemain Juventus yang kini bergelar pengarah
kelab tersebut, Pavel Nedved sedar apa yang bakal menanti mereka pada
perlawanan itu nanti.
"Saya sedar dengan suasana perlawanan yang bagaimana bakal menanti
kami (Juventus) nanti di Glasgow kerana saya pernah berada di sana dan
merasai sendiri suasana itu.
"Kami akan berdepan tugas sukar menentang Celtic nanti," kata Nedved.
Sementara itu, pengurus Celtic, Neil Lennon telah melakukan 10
pertukaran pemain pada aksi pemanas badan sebelum pertemuan dengan
Juventus ini ketika menewaskan Inverness Caledonian Thistle 3-1 Sabtu
lalu.
Lennon berkata, kehadiran penyokong ke stadium bakal memainkan peranan yang tersendiri.
"Saya sangat optimis dengan peluang untuk menang perlawanan itu dan para penyokong akan memainkan peranan penting.
"Ia merupakan perlawanan timbal balik. Sudah pasti kami (Celtic)
memiliki kelebihan sebelum berkunjung ke Itali bagi menghadapi aksi
kedua," kata Lennon. - Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan