BARU sahaja mencecah usia 24 tahun. Masih jauh
perjalanan yang perlu ditempuhi dan sudah pasti angka tersebut
melambangkan fasa remaja yang masih ditempuhi.
Namun banyak yang sudah ditempuhi oleh figura yang seorang ini dalam
usianya yang masih hijau. Cukup untuk melambangkan kegigihannya.
Awal pembabitan Neelofa Mohd Noor sudah diterjah dengan pelbagai
kontroversi. Dituduh bercakaran dengan pelbagai nama, ramai yang mula
sangsi pada wanita yang seorang ini.
Tak usah menyelak kembali sejarah tersebut memandangkan
segala-galanya sudah tinggal kenangan. Di sebalik sisi negatif seperti
yang dilemparkan umum, ada banyak kebaikan yang mengiringi.
Dia sudah tidak lagi melatah saat terhimpit cerita buruk. Sikap
positif yang ditunjukkan Neelofa sejak akhir-akhir ini juga cukup
menyerlahkan lagi persona dirinya.
Pun begitu, walaupun banyak kontroversi berjaya ditolak ke tepi, itu masih belum membuatkan khalayak menyayanginya sepenuh hati.
Tidak pernah kisah dengan apa juga persepsi yang dilemparkan umum
kepadanya, Neelofa yang cukup mesra disapa Lofa yakin dia hanya
melakukan yang terbaik untuk dirinya.
"Siapa saya untuk memenuhkan semua impian orang atau nak buat orang
gembira dengan apa yang saya lakukan. Saya juga orang biasa dan tak
pernah lari daripada melakukan kesalahan.
"Cuma dalam usia begini saya telah menghadapi segala-gala. Apa lagi
yang orang tak kata pada saya? Kontroversi apa lagi yang tak pernah saya
lalui?
"Bukan meminta perkara tersebut terjadi lagi tetapi apa yang boleh
saya katakan kontroversi itu cukup untuk mematangkan saya dalam pelbagai
sudut.
"Setiap kali saya berjaya atasi masalah, itu adalah detik paling
manis sebenarnya. Apa yang penting saya juga tidak mahu dilabel dengan
pelbagai kata-kata kurang manis," tegas Neelofa.
Ego menurunMELALUI hari-hari lalu dengan penuh rasa
syukur, Neelofa tidak mahu terus dikaitkan bercakaran dengan sesiapa pun
lagi. Dia mahu segala kekeruhan yang mengiringi kariernya sebelum ini
dibuang jauh-jauh tanpa perlu diungkit lagi.
"Saya sebenarnya letih untuk dikaitkan bergaduh dengan orang itu,
bercakar dengan orang ini. Cukup-cukuplah beberapa nama terkait dengan
saya selama ini.
"Sebagai manusia biasa saya juga mahukan kedamaian. Saya tak mahu
hidup saya dikatakan bermusuh dengan orang itu, orang ini sampai saya
rasa rimas.
"Padahal kadangkala antara kami tak ada apa-apa yang berlaku. Cuma
bila cerita yang bertebar ditokok tambah, itu yang menambah 'perisa'
menjadikan seolah-olah saya bersalah.
"Saya juga sudah masak dengan 'permainan' ini dan kalau boleh
cukup-cukuplah sebab saya tak akan ambil pusing lagi," jelas pengacara MeleTOP ini.
Adakah ego Neelofa semakin menurun sejak akhir-akhir ini? Saat
ditanya tentang isu tersebut, dia dengan tenang mengakui kebenarannya.
Sudah tiba masa untuknya lebih rasional dalam menghadapi apa sahaja halangan daripada terus terbelenggu dek emosi negatif.
"Mungkin ada benarnya ego saya semakin menurun sejak usia menginjak.
Saya anggap perubahan ini adalah perubahan yang positif untuk diri
sendiri. Kalau terus dengan ego, sampai bila pun isu lapuk tak akan
selesai.
"Saya juga tidak mahu terus merosakkan diri dengan memikirkan masalah
yang tak selesai. Daripada berterusan lebih baik saya segera
menjernihkan keadaan.
"Setidak-tidaknya hidup saya lebih tenang dan boleh fokus kepada perkara yang lebih penting," jelasnya lagi.
Jodoh"Saya tidak penat tetapi sebenarnya
rimas nak bercakap soal lelaki, jodoh dan isu-isu peribadi. Kalau boleh
memang saya enggan ulas lagi memandangkan terlalu banyak kisah itu
keluar sebelum ini," tegas Neelofa.
Bagi duta tilam King Koil ini, dia sebenarnya kasihan dengan Hans
Isaac yang sering kali terpalit setiap kali ceritanya menghiasi kaca
televisyen mahupun di dada-dada akhbar.
Tidak adil untuknya terus mengaitkan nama Hans memandangkan isu ini seharusnya tidak digembar-gemburkan untuk kebaikan bersama.
"Saya masih muda dan soal jodoh ini masih jauh untuk saya sebenarnya.
Tapi orang selalu bertanya sampaikan saya rimas untuk beri apa-apa
jawapan.
"Kalau saya kata macam ini, esok akan keluar macam-macam berita. Saya
lebih rela isu ini ditolak ke tepi memandangkan banyak perkara lain
yang boleh diketengahkan.
"Dia mungkin tidak ada masalah dengan isu macam ini tapi saya juga
perlu jaga hati keluarga. Kalau asyik cerita cinta sahaja yang keluar,
macam mana pula kata keluarga saya.
"Sebab itu saya mohon agar tidak terus dikaitkan dengan Hans buat
masa ini. Biarlah kami tumpu tugas dan bisnes masing-masing sebelum
cakap soal jodoh," pintanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan