|
LONDON - Pemain tengah Chelsea, Juan Mata mengakui, pasukannya kini
tidak berupaya untuk bersaing dengan pasukan-pasukan besar England
sambil menyifatkan peluang The Blues untuk menduduki kelompok empat
teratas Liga Perdana England semakin terjejas.
Skuad kendalian Rafael Benitez itu dilihat dalam situasi 'berbahaya'
untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara pada musim depan selepas tewas
0-2 kepada Manchester City di Stadium Etihad, Isnin lalu.
Ia merupakan keputusan terburuk Chelsea ketika menentang pasukan-pasukan gergasi England pada musim ini.
Ditanya mengenai prestasi hambar The Blues ketika menentang
pasukan-pasukan teratas liga, Mata berkata: "Jika benar itu adalah
faktanya, maka kami harus memperbaiki segera corak persembahan kami.
"Perlawanan penting bagi kami ialah ketika menentang City, Manchester
United, Arsenal, Tottenham Hotspur dan Liverpool kerana mereka
merupakan pasukan terbaik dalam Liga Perdana England, dan kami harus
menunjukkan kemampuan kami.
"Kami gagal untuk mempamerkan aksi lebih baik ketika menentang City.
Kami tidak menjaringkan gol dan gagal mendapatkan sebarang mata. Apabila
kamu menentang pasukan hebat seperti City, kamu harus beraksi melebihi
tahap keupayaan kamu."
Kini, Spurs merampas kedudukan ketiga liga daripada Chelsea yang
mengutip 49 mata dengan kelebihan tiga mata manakala Arsenal ketinggalan
dua mata di belakang The Blues yang berada di tangga keempat liga.
"Beraksi pada saingan Liga Juara-Juara pada musim depan adalah keutamaan kami.
"Sudah tentu kami mahu memenangi Piala FA dan Liga Europa yang mana kami masih bertanding dalam dua kejohanan ini.
"Bagaimanapun sasaran utama Chelsea adalah menduduki tangga ketiga
liga bagi membolehkan kami menempah tempat ke saingan Liga Juara-Juara
pada musim depan," katanya. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan