|
|
HONG KONG - Finalis Terbuka Australia, Li Na yakin dia memiliki
pengalaman yang mencukupi untuk mengatasi cabaran pemain generasi baharu
dalam misi memburu gelaran Grand Slam.
Bekas juara Terbuka Perancis dari China itu masih segar dengan
kekalahan kepada Victoria Azarenka pada final kejohanan Grand Slam
pertama tahun ini di Melbourne minggu lalu.
Bagaimanapun, Li Na yakin dia mampu beraksi ditahap tertinggi selama dua tahun lagi.
Li Na yang berusia 31 tahun pada 26 Februari ini iaitu sama usia
dengan juara 15 kali Grand Slam dari Amerika Syarikat, Serena Williams
dianggap sudah tua dalam sukan yang dibarisi ramai pemain muda ini.
"Buat masa ini, saya sudah bermain sejak beberapa tahun lalu. Jadi, saya turut memperoleh pengalaman yang berguna.
"Saya juga tidak pernah berputus asa. Bagi saya, ini lebih penting
dan sebab itu saya mampu beraksi di tahap tertinggi untuk tempoh
beberapa tahun lagi," kata pemain No. 5 dunia itu.
Li Na mengetepikan cabaran Agnieszka Radwanska dan Maria Sharapova untuk menempah slot ke final di Australia.
Bagaimanapun, kecederaan buku lali yang dialaminya sebanyak dua kali
pada aksi final antara penyebab dia tewas kepada pemain No. 1 dunia dari
Belarus itu.
Selain kejayaan beberapa pemain ternama, kejohanan tersebut turut
menyaksikan kemunculan ramai pemain generasi baharu seperti kejutan yang
dilakukan Sloane Stephens, 19, dari Amerika Syarikat ke atas rakan
senegaranya, Serena pada aksi suku akhir.
Pemain Britain, Laura Robson, 19, meneruskan aksi cemerlang apabila
mara ke pusingan ketiga manakala Garbine Muguruza dan Madison Keys
dilabel sebagai pemain yang akan menjadi bintang pada masa depan.
"Sudah tentu buat masa ini terdapat ramai pemain muda yang sedang
meningkat naik. Mereka bermain dengan baik. Jadi, kamu tetap akan
melihat sekumpulan pemain yang perlu bekerja keras.
"2013 sepatutnya menjadi tahun yang menarik buat semua pemain," kata
Li Na yang melakar sejarah menjadi pemain pertama Asia memenangi gelaran
Grand Slam dalam acara perseorangan wanita pada Terbuka Perancis 2011. -
AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan