Jumaat, 8 Februari 2013

Chelsea tagih sentuhan Lampard



LAMPARD (kiri) membantu England menewaskan Brazil 2-1 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Wembley kelmarin.


LONDON - Pengurus sementara Chelsea, Rafael Benitez berharap persembahan cemerlang pemain tengah, Frank Lampard mampu menamatkan rekod buruk skuad The Blues pada saingan Liga Perdana England musim ini.

Benitez menyuarakan keyakinan itu bagi mengurangkan tekanan anak-anak buahnya menjelang aksi menentang Wigan Athletic di Stadium Stamford Brigde malam ini.

Chelsea yang gagal mencatat sebarang kemenangan sepanjang empat perlawanan terakhir terdesak untuk mengutip tiga mata dalam usaha mempertahankan kedudukan di tempat ketiga liga.

"Dia (Lampard) telah menjaringkan gol buat kami dan saya fikir dia berjaya melaksanakan tugas dengan begitu baik.

"Lampard telah beraksi sebanyak 94 perlawanan bersama England dan sekiranya dia membuat penampilan ke-100, ia akan memberikan suntikan motivasi kepadanya.

"Ini bermakna dia masih cergas dan mampu beraksi dengan sebaik mungkin jika diturunkan," kata Benitez.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu telah diberikan tugas untuk memastikan The Blues berada dalam kelompok empat teratas liga, sekali gus menjadi 'tiket' untuk ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Bagaimanapun, kedudukan Chelsea semakin terancam selepas tewas 2-3 kepada Newcastle United dan situasi itu menyebabkan pencabar terdekat, Tottenham Hotspur semakin menghampiri kedudukan dan hanya ketinggalan satu mata di belakang skuad kendalian Benitez itu.

Difahamkan, Chelsea bersedia untuk mengemukakan tawaran baharu kepada Lampard selepas dia yang tampil sebagai pemain gantian berjaya membantu England menewaskan Brazil 2-1 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Wembley kelmarin.

Pemain berusia 34 tahun itu mencapai prestasi kemuncak dan masih mampu beraksi di pentas tertinggi untuk tempoh yang lebih lama. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan